KOTA TINGGI - Sebanyak RM405,000 lagi dana diperlukan Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Naurah bagi menjayakan pembinaan bangunan baharu tahfiz berkenaan di Batu 4, Jalan Lombong.

Pengetuanya, Rosnani Yusof berkata, pembinaan bangunan itu amat bermakna berikutan bangunan rumah disewa yang menjadi tempat madrasah beroperasi di Taman Kota Jaya akan diambil semula pemiliknya.

Menurutnya, pembinaan madrasah yang dijangka siap awal Januari tahun depan itu mampu memuatkan 80 hingga 90 pelajar perempuan.

“Bangunan ini dibangun di tanah yang diwakafkan seorang hamba ALLAH. Alhamdulillah ramai pihak mahu infak tanah dan setelah melakukan istikharah, kami setuju bina Madrasah An Naurah di Batu 4 ini.

“Pembinaan madrasah ini kini sudah 60 peratus siap dibangunkan dengan hasil sumbangan orang ramai. Kini pembinaan berjalan agak perlahan disebabkan faktor ekonomi, namun pembinaan tidak terhenti dan kami memerlukan RM405,000 untuk menyiapkan bangunan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, bangunan baharu itu akan dilengkapi dengan kemudahan keselamatan sesuai sebagai sebuah madrasah yang menempatkan pelajar perempuan.

Katanya, dana hasil sumbangan orang ramai itu juga akan digunakan untuk membina tembok di sekitar kawasan madrasah bagi mengelakkan haiwan liar menceroboh.

Jelasnya, tambahan pula sebelah bangunan madrasah dibina itu terdapat parit besar dan dibimbangi haiwan berbisa seperti ular mengganggu ketenteraman pelajar.

“Kita juga perlukan sebuah pondok pengawal di bangunan ini untuk keselamatan pelajar kita. Lebih-lebih lagi kawasan ini agak sunyi.

“Bahkan saya dan juga warden juga sama-sama tinggal dengan pelajar apabila bangunan ini siap,” katanya.

Rosnani berkata, tabung derma dilancarkan sejak Mei lalu untuk mendapatkan dana selepas mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (Mainj).

Orang ramai boleh salur sumbangan ke akaun dana pembangunan Madrasah Tahfiz Al-Quran An Naurah, bank Muamalat 010 900 003 257 19, bank Rakyat Malaysia 110 330 001 571 atau bank Islam Malaysia 010 690 100 441 53.