• Mohd Latif menunjukkan keadaan lubang di tengah jalan yang kerap mengundang kemalangan kepada pengguna jalan raya. Mohd Latif menunjukkan keadaan lubang di tengah jalan yang kerap mengundang kemalangan kepada pengguna jalan raya.
1 /

PASIR GUDANG – Rata-rata pengguna jalan raya di Jalan 11 ½ Jalan Masai Lama, di sini menggelarkan lubang seperti kawah di tengah jalan sebagai lubang 'puaka' kerana kerap mengundang kemalangan.

Seorang pengadu, Mohd Latif Mohamad, 32, berkata, jalan itu kerap digunakan pekerja industri yang menghubungkan Lebuh Raya Pasir Gudang ke kawasan perindustrian Plentong.

Menurutnya, lubang yang pada awalnya kecil semakin besar dan dalam selepas dibiarkan lebih enam bulan tanpa tindakan membaik pulih  di jalan berkenaan.

“Ramai yang menjadi mangsa angkara lubang ini kerana kedudukannya di tengah-tengah jalan sehingga banyak kenderaan yang mengalami kerosakan.

“Saya sendiri tercedera selepas motosikal yang ditunggang gagal mengelak lubang ini sehingga terlibat kemalangan, malah ada peristiwa yang hampir meragut nyawa penunggang motosikal,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Latif berkata, keadaan bertambah bahaya pada waktu malam kerana sepanjang laluan dari kawasan perindustrian Plentong ke Lebuh Raya Pasir Gudang itu gelap tanpa diterangi cahaya lampu jalan.

Menurutnya, dalam kebimbangan pekerja industri memikirkan keselamatan melalui jalan gelap berkenaan, masih ramai yang tersungkur ke dalam lubang itu sekiranya tidak berhati-hati.

“Ada yang menjadi mangsa pada musim hujan kerana limpahan air hujan ke permukaan lubang di tengah jalan itu membuatkan pengguna jalan raya tidak nampak keadaan itu

“Kita minta jasa baik pihak bertanggungjawab supaya mengambil tindakan segera dengan menurap semula jalan berkenaan kerana kita tidak mahu ada yang terkorban akibat lubang yang semakin besar itu,” katanya.