JOHOR BAHRU - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan tindakan wakil rakyat Umno memilih untuk meninggalkan parti dan menyokong lawan, sebagai kerja sia-sia.

Menurutnya, oleh itu wakil rakyat serta ahli parti yang masih bersama Umno perlu mengambil ikhtibar dari situasi tersebut memandangkan parti lawan juga tidak menerima golongan tersebut.

"Adalah satu kerja sia-sia untuk mereka melompat. Satu kerja sia-sia kerana seberang sana jelas tak mahu dan tidak bermoral kalau terima mereka.

"Orang ini bertanding atas tiket lain, menggunakan jentera, mendapat sokongan, memanfaatkan segala kemudahan untuk menang daripada BN, kemudian parti lain terima dengan mudah. Jadi bukan sahaja ahli parlimen itu tidak bermaruah, tetapi parti yang ambil itu tidak beretika," katanya ketika ditemui, semalam.

Mohamed Khaled berkata, beliau akui menghormati pendirian parti dalam Pakatan Harapan yang kini menjadi kerajaan kerana tidak menerima sekumpulan individu tersebut.