JOHOR BAHRU - Cadangan lokasi penggantian Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Payong di Parit Sulong, Batu Pahat yang akan diusulkan kerajaan negeri kepada persekutuan masih belum diputuskan.

Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, ia berikutan terdapat beberapa perkara masih berada di dalam perbincangan selain perlu diteliti agar tidak merumitkan keadaan yang berlaku.

“Kita sekarang dalam usaha mendapatkan lokasi terbaik untuk tapak pelupusan sampah sanitari untuk menggantikan yang sedia ada. Tetapi masalahnya kita kena berbincang dahulu dengan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS).

[ARTIKEL BERKAITAN: Kos besar jika henti projek]

“Berkenaan dengan lokasinya pula, kita perlu faham yang Bukit Payong adalah lokasi di tengah untuk beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) merangkumi Batu Pahat, Kluang, Simpang Renggam dan Segamat. Jadi kalau buat di Johor Bahru tentu tidak sesuai.

“Kalau buat dekat utara pula, daripada segi logistik pun kurang bijak, maka beberapa faktor itu perlu diambil kira,” katanya pada sidang media Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awak (SWCorp), di Menara Cyberport, di sini, hari ini.

Hong Ping berkata, berhubung perkara itu, kekangan faktor masa kini menjadi masalah kerana kebanyakan pusat pelupusan sampah sedia ada menghampiri tarikh luput.

Katanya, akan timbul isu yang lebih besar sekiranya projek Bukit Payong iaitu pelan sokongan kerajaan persekutuan untuk mengatasi masalah kekurangan pusat pelupusan sampah perlu bermula semula daripada awal.

“Masalahnya sekarang kita kesuntukan masa sebab banyak tapak pelupusan sampah sekarang sudah hampir tamat tempoh ataupun telah dilanjutkan tempohnya.

“Jadi kalau kita nak bermula semula daripada awal, ia akan mengambil masa dua atau tiga tahun untuk mendapatkan tapak pelupusan sampah lain dan akan jadi isu besar. Sebab Bukit Payong ini dijangkakan akan siap sepenuhnya 2019, kita perlu melihat ini sebagai salah satu faktor juga,” katanya.

Jelasnya, kerajaan juga akan mengambil pendekatan bertemu semula dengan penduduk setempat bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung perkara berkenaan.

“Kita faham apa yang dialami penduduk di sana, selepas ini kita akan bersemuka semula dengan penduduk di kawasan tersebut pada 27 Julai ini,” katanya.

Terdahulu, Hong Pin berkata, kerajaan negeri dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) sebelum ini telah bersetuju untuk mencari satu tapak pelupusan sampah alternatif untuk dibawa ke peringkat KPKT.

“Tapi apa apa pun ia tertakluk kepada pertimbangan kementerian sebab kuasa pengurusan sisa pepejal ini sekarang berada pada tangan kerajaan persekutuan,” katanya.