KLUANG - Lima premis yang dipercayai menjalankan dan menyediakan permainan mesin perjudian dalam talian di sekitar kawasan Simpang Renggam, di sini, dipotong bekalan elektrik menerusi Ops Dadu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, operasi yang bermula jam 10 pagi hingga 1 petang itu dijalankan secara bersepadu dengan beberapa agensi bagi menangani masalah perjudian di daerah ini.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan secara bersepadu oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bersama kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) cawangan Kluang bagi melakukan pemotongan bekalan elektrik.

"Tindakan pemotongan bekalan elektrik itu seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 21(A)(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953. Semasa pemeriksaan dijalankan ketika pemotongan dilakukan, semua premis terbabit tidak beroperasi serta tidak berpenghuni dan pemotongan dijalankan dalam keadaan lancar serta terkawal.

“Tindakan ini dilakukan bagi memastikan pemilik premis tidak lagi dapat menjalankan perniagaan dan penyambungan semula hanya akan dilakukan sekiranya mereka mengusahakan jualan lain selain daripada menganjurkan perjudian online. Tiada kompromi untuk mana-mana pemilik premis kerana sebelum ini beberapa amaran telah dikeluarkan untuk mereka menghentikan perniagaan berunsurkan permainan judi,” katanya.

Mohamad berkata, operasi yang dijalankan itu adalah berdasarkan aduan daripada orang awam berhubung permainan berunsur perjudian.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemantauan akan terus dilakukan untuk memastikan kegiatan tersebut tidak berulang dan diharapkan permohonan untuk menjalankan perniagaan di bawah lesen hiburan diberikan penilaian rapi sebelum diluluskan.