ISKANDAR PUTERI - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah meminta jasa baik Kerajaan Johor untuk melihat status tanah di beberapa kawasan di negeri ini yang terlibat dengan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, beliau juga akan membawa satu kertas Kabinet untuk meneruskan projek yang disifatkan mempunyai objektif sangat baik bagi membekalkan 30 peratus keperluan daging tempatan.

“Objektif ini sangat murni dan saya telah berbincang dengan menteri besar supaya tanah-tanah yang dahulunya digunakan untuk projek ini, sebahagiannya di Muar, sebahagiannya di Segamat, sebahagiannya di Pagoh.

“Saya meminta jasa baik menteri besar supaya melihat status tanah ini, dan insya-ALLAH sekiranya projek ini diluluskan oleh Kabinet dengan peruntukan diberikan, Johor akan menjadi satu destinasi ataupun hab penternakan lembu daging, yang saya rasa terbesar dalam negara kita, itu hasrat saya untuk menjayakan projek ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Salahuddin berkata, sekiranya projek tersebut dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, telus dan pemantauan yang baik, kementerian yakin serta percaya NFC akan berjaya dan mencapai matlamat disasarkan.

“Dan ini sudah pasti akan melibatkan pemantauan, penguatkuasaan dan juga kelulusan daripada pihak kerajaan negeri di bawah bidang kuasa Menteri Besar Johor,” katanya.

Selain itu katanya, kementerian juga akan menukar nama, malah melakukan penjenamaan semula terhadap projek tersebut.

“Mungkin nama sahaja kita tukar, sebab nama itu ada konotasi yang nanti nampak NFC nampak kondo. Saya tak nak macam itu. Kita sebut NFC nanti nampak ada wajah orang lain.

“Jadi mungkin nama itu kita tukar, kita jenama semula dan yang penting segala keperluan untuk menjayakan projek besar ini akan diambil tanggungjawab sepenuhnya oleh pihak kementerian,” katanya.