JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor menerima peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) berjumlah RM627.3 juta bagi fasa kedua untuk menyelenggarakan jalan-jalan negeri.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, peruntukan itu merupakan pemberian dari Kerajaan Persekutuan bagi membantu kerajaan negeri menyelenggarakan jalan-jalan negeri.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak RM85 juta atau 13.56 peratus disalurkan ke daerah Johor Bahru melalui Pejabat Daerah Johor Bahru, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan.

“Bagi melaksanakan projek penyelenggaraan itu kerja-kerja, undian telah dijalankan bagi memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor yang tidak berjaya mendapatkan kerja secara tender dan sebut harga melalui peruntukan Marris Fasa 1 sebelum ini.

“Selain itu, pelantikan secara undian ini dilaksanakan untuk memastikan proses lantikan kontraktor dapat dilaksanakan secara terbuka dan telus,” katanya selepas Majlis Undi Berkelompok Projek MARRIS Fasa 2, Peringkat Daerah Johor Bahru di Dewan Sri Cahaya Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kempas, semalam.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang; Exco Hal Ehwal Agama Islam Dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan dan Exco Pembangunan Keusahawanan, Koperasi Dan Ekonomi Kreatif, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Dalam pada itu, Osman berkata, pelantikan kontraktor melalui peruntukkan Marris itu dilantik melalui proses sebut harga dan tender.

Katanya, ini bertepatan dengan hasrat kita untuk memurnikan tatacara kelolaan pemberian projek-projek kerajaan melalui tender terbuka.