JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membantu industri penanaman cili untuk menghantar petisyen kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bagi menyelesaikan isu lambakan cili dalam pasaran tempatan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, borang petisyen telah diedarkan kepada penggiat industri iaitu penanam cili untuk dilengkapkan dalam tempoh sebulan.

Menurutnya, petisyen juga perlu dilengkapkan dengan bukti dan data mengenai isu berkenaan sebelum diserahkan kepada Miti untuk tindakan lanjut.

"Sekiranya benar berlaku lambakan cili, kementerian boleh mengenakan duti import tinggi sehingga 20 peratus kepada negara pengeksport cili.

"Kita telah mendengar segala permasalahan dan isu cili dan rata-rata mereka minta perjuangkan dari segi harga kerana mereka alami tekanan harga yang tidak boleh meliputi kos produksi mereka.

"Dalam dialog tadi (semalam), ada beberapa isu yang kementerian akan ambil perhatian terutama isu lambakan cili dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berikan borang petisyen sekiranya benar berlaku lambakan cili import.

"Borang perlu diisi dengan lengkap supaya kementerian dapat bertindak yang dikatakan lambakan menyebabkan jatuhnya harga," katanya dalam sidang media selepas Program Bicara Tani MOA bersama pengusaha cili Malaysia di Dewan Pusat Islam Iskandar Johor di sini, semalam.

Salahuddin berkata, kementerian akan bertanggungjawab dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya laporan pengusaha cili itu adalah benar.

Menurutnya, selain menyediakan petisyen bagi mengatasi isu lambakan cili, Fama juga akan menetapkan harga ladang bagi cili merah RM4.50 sekilogram berbanding RM4 sebelum ini.

Katanya, penetapan harga ladang itu inisiatif relevan pada peringkat ini dan sesuai bagi membolehkan pengusaha cili menampung kos operasi mereka.

"Namun begitu, pengusaha cili tempatan juga perlu faham, pengeluaran cili tempatan tidak mampu memenuhi permintaan dan keperluan industri.

"Negara masih mengimport cili dari beberapa negara seperti Thailand, Vietnam dan China bagi menampung permintaan itu," katanya.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MOA, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan dan Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak.