JOHOR BAHRU - Beberapa kediaman di Kampung Tok Siak, di sini, dinaiki air selepas hujan lebat pada Jumaat lalu.

Lebih parah, banjir turut membawa bersama lumpur didakwa dari tapak projek berdekatan.

Mustafa Ibrahim, 59, yang mewakili keluarganya di kampung tersebut mendakwa projek pembangunan komersil bersebelahan menjadi punca kejadian itu berlaku.

“Setiap projek pembangunan sepatutnya mempunyai sistem perparitan yang akan memastikan kawasan sekeliling tidak menerima kesan seperti dihadapi kampung ini.

“Ambil contoh kediaman keluarga saya di sini, akibat daripada hujan lebat tersebut, mengalir banjir berserta tanah dan lumpur dari tapak projek memasuki rumah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mustafa berkata, sebelum ini penduduk berdepan masalah seumpama itu akibat projek pembinaan perumahan berdekatan beberapa tahun lalu, kini masalah sama berulang.

“Penduduk di sini tidak menolak pembangunan, namun berharap pemaju yang menjalankan projek dapat mengambil langkah bersifat prihatin terhadap kawasan sekeliling.

“Janganlah sampai bila hujan, limpahan air dari tapak projek memasuki kawasan kampung. Buatlah sesuatu agar ia tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Penduduk, Halilah Daud, 52, berkata, susulan hujan lebat beberapa hari lalu, hadapan kediamannya dan penduduk lain dilimpahi dan dinaiki banjir lumpur.

“Meskipun ada beberapa pekerja dari tapak projek membantu membersihkan kediaman penduduk, ia tidak memadai kerana kami tidak mahu ia terjadi lagi pada masa akan datang.

“Kami hargai inisiatif diambil pihak mereka, tapi lebih elok pihak mereka buat sesuatu agar banjir kilat berserta lumpur ini tidak memasuki kawasan kampung dan rumah penduduk,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi mendapati penduduk kampung tersebut sedang bergotong-royong mengorek longkang sebagai penyelesaian sementara dan mengelak limpahan air supaya tidak memasuki kediaman.

Malah tinjauan turun mendapati beberapa kesan daripada banjir lumpur selain ada kawasan yang masih digenangi air.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Kampung Melayu Majidee dan Bakar Batu, Rosli Kemin berkata, pihaknya akan membuat tinjauan ke lokasi tersebut bagi mendapatkan situasi sebenar berhubung kejadian.

“Saya mewakili MBJB akan meninjau lokasi. Jika ia melibatkan masalah sistem perparitan, pihak MBJB akan bertindak agar masalah tersebut dapat diselesaikan dan tidak berulang jika hujan.

“Bagaimanapun jika ia disebabkan oleh projek pembangunan seperti didakwa penduduk, kita akan mengeluarkan notis ke atas pemaju di bawah kategori kacau ganggu,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat MBJB agar permasalahan penduduk Kampung Tok Siak dipandang serius oleh pihaknya dan berkaitan.

Dalam pada itu, Adun Stulang, Andrew Chen Kah Eng ketika dihubungi memaklumkan pihaknya membantu keluarga terlibat bagi meringankan beban dihadapi.

“Saya telah meminta wakil saya untuk pergi siasat bagi mendapatkan nama dan keluarga yang terlibat. Jadi wakil saya akan mengenal pasti jumlah penduduk dan kediaman yang terlibat.

“Kita akan usahakan bantuan bencana kepada penduduk-penduduk ini,” katanya.