• Lagi mangsa gores dan menang Lagi mangsa gores dan menang
1 /

JOHOR BAHRU – Tidak sampai empat bulan barangan dibeli, seorang penghantar kurier kecewa apabila alat pembersih udara miliknya rosak, malah penjual pula cuba bersikap lepas tangan biarpun telah dimaklumkan beberapa kali.

Pihak yang menuntut, Mohd Fauzi Abdul Rahim berkata, dia dan isterinya bersetuju untuk membeli perkakas elektrik itu selepas dipujuk oleh seorang jurujual yang dikenali sebagai Roy ketika berkunjung ke sebuah ekspo jualan barangan.

Menurutnya, dia ditawarkan untuk menggores kad dan memenangi hadiah sebuah alat penapis air, namun untuk menuntut barangan itu dia perlu membeli sebuah alat pembersih udara berharga RM2,699 terlebih dahulu.

“Saya bersetuju untuk membelinya dan membayar secara ansuran melalui Aeon Kredit sebanyak RM151 selama 24 bulan. Roy juga memaklumkan terdapat jaminan tiga tahun wang dikembalikan sekiranya barangan dibeli rosak.

“Barangan ini juga mempunyai jaminan kerosakan selama dua tahun, namun baru empat bulan dibeli ia telah rosak sedangkan kami tidak kerap menggunakannya. Isteri saya, Norliza Badri, 21, kemudian menghubungi pihak syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur,” katanya.

Bagaimanapun katanya, usaha untuk menemui wakil jualan di bandaraya ini juga tidak berhasil apabila pejabat syarikat itu yang terletak di Taman Impian, di sini telah ditutup.

“Isteri saya menghubungi talian khidmat pelanggan mereka dan memaklumkan mengenai kerosakan berkenaan pada Mei lalu. Mereka berjanji akan menghantar wakil.

Sehinggalah 11 Jun lalu kami menghubungi mereka sekali lagi dan tiada sebarang respons selepas itu,” katanya.

Bengang dengan sikap pihak syarikat, beliau memfailkan tuntutan di Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini, semalam, menuntut pihak penentang memulangkan semula bayaran RM2,699.

Sementara itu, Presiden TTPM, Maznah Haron dalam penghakimannya memerintahkan pihak penentang memulangkan semula bayaran RM2,699 kepada Mohd Fauzi dalam masa 14 hari selepas award dikeluarkan.