JOHOR BAHRU - Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) selesai dimashurkan menjadi pusat setempat (one stop center) warisan dan budaya Johor.

Kompleks yang sebelum ini dikenali sebagai Kompleks Yayasan Warisan Johor (YWJ) kini diurus tadbir di satu kawasan dengan memindahkan pejabat lamanya yang terletak di Jalan Mariamah.

Pemasyhuran bangunan itu diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang turut berkenan merasmikan Galeri Tenun Johor di kompleks berkenaan.

Sultan Ibrahim yang berangkat tiba jam 4.30 petang meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat Galeri Tenun Johor yang menempatkan artifak dan sejarah tekstil negeri ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Majlis turut diserikan dengan kejutan acara memotong pulut kuning sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan Johor.

Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar adalah satu usaha dan sokongan pihak Istana Johor dan kerajaan negeri bagi memastikan budaya serta warisan bangsa Johor dipelihara.

“Kedudukan kompleks yang strategik, premis dan pengisiannya mempunyai nilai pakej lengkap sebagai sebuah pusat pelancongan berteraskan warisan dan budaya.

“Semoga kompleks ini menjadi wadah dan mercu tanda baru kepada bandar raya Johor Bahru,” katanya.

Selain ibu pejabat YWJ, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar juga adalah pusat sehenti bagi aktiviti kebudayaan Johor yang terdiri daripada enam komponen utama iaitu galeri tenun, bengkel tenun, mini galeri menteri besar, pusat dokumentasi, galeri seni dan laman seni warisan.