KOTA TINGGI - Tarikan kunang-kunang di pesisir Sungai Johor, mampu membantu meningkatkan ekonomi nelayan kawasan berhampiran.

Adun Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, ia berikutan nelayan boleh ambil peluang menyewa bot kepada pelancong untuk melihat keindahan serangga tersebut pada waktu malam.

Menurutnya, beliau yakin ia boleh diketengahkan sebagai peluang menjana ekonomi sampingan berasaskan pelancongan ekosistem kepada nelayan sungai  khususnya di Kampung Makam, Kampung Seluyut, Kampung Panchor dan Teluk Sengat.

“Sumber ekosistem di sekitar Sungai Johor mampu dimanipulasikan bagi menambah pendapatan nelayan sungai di sini.

“Seperti kunang-kunang di sini, ia membiak pada pokok berembang di tebing sungai dan ia berpotensi menggamit pelancong domestik dan luar ke Kota Tinggi.

“Saya sendiri dah menyaksikan banyak kunang-kunang berkelipan di dahan pokok tersebut. Saya berpendapat ia baik untuk dimanfaatkan sebagai satu program menambahkan pendapatan nelayan.

“Nelayan boleh menyewakan bot mereka kepada pelancong untuk melihat kunang-kunang pada waktu malam,” katanya selepas menyertai program melihat kunang-kunang di pesisir Sungai Johor sebagai potensi produk baharu pelancongan daerah ini oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kota Tinggi.

Katanya, dalam mesyuarat tindakan daerah beliau telah membawa idea tersebut dan JPS begitu proaktif memberi respons dalam hal ini.

“Kemudahan jeti nelayan yang akan dibina di Kampung Makam tentunya nanti akan memudahkan lagi usaha nelayan ini.

“Kita dapati terdapat pokok berembang yang hidup subur di tebing Sungai Johor. Pokok ini menjadi salah satu habitat kunang-kunang yang perlu dipelihara.

“Kita harap usaha menanam pokok berembang di kawasan tebing sungai perlu digiatkan oleh pihak yang terbabit,” katanya.