JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri menegaskan perobohan kuil milik Persatuan Penganut Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar  dilakukan pemilik sah tanah.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kuil tersebut dirobohkan dengan kebenaran perintah mahkamah yang dipohon secara persendirian oleh pemilik sah tanah tersebut dan tidak melibatkan pihak Kerajaan Negeri.

“Didapati wujud beberapa kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat umum tentang fakta dan keadaan sebenar isu ini.

“Perlu ditegaskan bahawa perobohan tersebut adalah dilakukan oleh individu pemilik sah tanah tersebut atas kapasitinya selaku pemilik tanah, dan bukannya oleh pihak kerajaan negeri atau mana-mana agensi kerajaan dan ia dirobohkan dengan kebenaran perintah mahkamah yang dipohon secara persendirian oleh pemilik sah tanah tersebut dan tidak melibatkan pihak kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya juga pernah mencadangkan sebidang tanah baharu untuk menggantikan kuil di tanah persendirian tersebut bagaimanapun  telah ditolak oleh pihak kuil yang berkeras untuk kekal di atas tanah milik persendirian di dalam kes ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Roboh kuil: Cari penyelesaian terbaik]

“Memandangkan isu ini berlarutan dan mula dipolitikkan, kerajaan negeri ingin sekali lagi menawarkan kepada pihak pengurusan kuil sebidang tanah baharu yang telah dirizabkan sebagai tapak kuil di Jalan Persisiran, Seri Alam

“Bagi mengelakkan isu ini berpanjangan dan melarat, adalah diharapkan kesediaan kerajaan negeri memberikan tawaran tapak kali kedua ini akan dipersetujui dan diterima baik oleh pihak pengurusan kuil. Kerajaan Negeri  berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik kepada semua pihak,” katanya.