JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor menjalankan operasi ke atas 10 premis di sekitar bandar raya ini, kerana disyaki menjual produk dari satu jenama disyaki tiruan.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Aris Mamat berkata, operasi itu melibatkan 20 anggota penguatkuasa KPDNHEP Johor Bahru pada 28 hingga 30 Ogos lalu.

Menurutnya, tindakan diambil hasil pemantauan dan risikan dibuat oleh pihaknya dan pengadu bagi jenama barangan tersebut.

“Hasil pemeriksaan selanjutnya mendapati premis-premis terbabit ada menjual barangan yang menggunakan jenama produk atau barangan tersebut.

“Sebanyak 770 minyak wangi pelbagai jenis dan saiz, 50 unit dompet, 354 unit aksesori telefon bimbit pelbagai jenis dan saiz, serta 130 aksesori perhiasan yang disyaki tiruan dengan anggaran nilai rampasan RM34,250,” katanya kepada Sinar Harian.

Aris berkata, semua barangan tersebut disita di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya, KPDNHEP juga percaya barangan itu adalah untuk edaran pasaran di dalam dan luar negeri ini.

“KPDNHEP Johor akan terus menjalankan operasi yang sama ke atas mana-mana premis yang menjual barang tiruan jenama berkenaan termasuk premis-premis yang menjual barangan tiruan.

“Oleh itu, peniaga dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan dan tidak terbabit dalam menjalankan aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar berhati-hati dalam membuat pembelian dengan memastikan barangan dibeli adalah tulen.