JOHOR BAHRU - Polis Johor berkolaborasi dengan pelbagai agensi dalam menjayakan matlamat Ops Selamat 13/2018 sempena Aidilfitri kali ini.

Antara pihak lain yang terlibat adalah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Plus.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, sasaran Op Selamat dilaksanakan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Kita nak mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Sudah tentu sasaran utama kita adalah membasmi kalau boleh. Tapi kita perlu berurusan dengan sikap (pemandu).

“Sebelum ini setiap agensi bergerak dengan pendekatan masing-masing. Untuk Op Selamat kali ini, di Johor setiap agensi termasuk PDRM akan bergerak secara bersama dengan satu konsep, satu sistem dan satu azam dalam menangani krisis,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Perasmian Op Selamat 13/2018 Sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, semalam.

Mohd Khalil berkata, berdasarkan statistik, motosikal antara penyumbang kadar kemalangan paling tinggi.

Katanya, atas sebab itu, Polis Johor telah mendekati penunggang motosikal khususnya ‘brother moto’ sebelum ini.

Selain itu, katanya, kemalangan jalan raya bergantung kepada sikap dan pemanduan pengguna di atas jalan raya.

“Jadi tolong jaga sikap anda. Jangan ingat kita pemandu yang baik, kita semua sama. Jaga antara satu sama lain. Keseluruhan konsep adalah pemanduan defensif,” katanya.