JOHOR BAHRU - Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 yang diketuai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membuka tirai dengan pengembaraan sejauh 808 kilometer (km), merentasi kesemua 10 daerah, semalam.

Pelepasan pengembaraan rombongan Diraja Johor yang menjadi nadi keakraban institusi Diraja dan rakyat selama empat hari itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Buat julung kalinya, Tuanku memandu kereta klasik beroda tiga Morgan buatan Britain.

Pelbagai aktiviti disusun sepanjang penjelajahan yang turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, barisan exco kerajaan negeri, pemimpin kerajaan dan pegawai kanan Kerajaan Johor.

Mohamed Khaled dalam sembah ucapannya berkata, KMJ sentiasa sarat dengan pelbagai pengisian menarik dan kreatif.

“Dan yang lebih penting ia menjadi simbol bahawa istana bergerak seiring peredaran zaman. Menjadi sangat inklusif, sangat merakyat.

“Kembara ini memecah tembok feudal dan memodenkan institusi beraja. Melalui kembara ini, rakyat di seluruh pelosok negeri ini akan disantuni Tuanku sendiri,” katanya.

Turut berangkat hadir, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan Che Puan Khaleeda Bustamam; serta Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar.

Hadir sama, Speaker Dewan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor dan Ahli-ahli Jumaah Majlis Diraja Johor.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan tindakan golongan mat rempit yang masih menjadikan Jalan Pantai Lido di hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini sebagai lokasi lumba haram.
  • JOHOR BAHRU - Meskipun mengalami kecederaan di bahagian tangan kirinya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tetap menunjukkan keprihatinannya terhadap rakyat jelata.
  • JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan bertindak sebagai pendamai dalam mencari penyelesaian terhadap isu perobohan sebuah kuil Hindu di Seri Alam, baru-baru ini.
  • MUAR - Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menyeru kepada semua masyarakat di negara ini supaya menghormati dan memelihara prinsip kebebasan badan kehakiman serta jangan sesekali membuat tuduhan tidak berasas terhadap hakim atau pegawai kehakiman.
  • ISKANDAR PUTERI - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan majlis perasmian pengisytiharan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di Bandar Medini Iskandar, di sini hari ini.