MERSING - Hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 bermula dengan keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar ke Pulau Mensirip di Taman Laut Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim berserta rombongan kembara sebelum itu berangkat ke Kem Iskandar untuk ke pulau berkenaan sekitar jam 8 pagi.

Di Pulau Mensirip, berlangsungnya Majlis Pra Pengisyhtiharaan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT).

Sultan Johor turut berkenan menyelam bagi menyempurnakan pelancaran logo Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di pulau berkenaan sebelum berangkat semula ke Kem Iskandar untuk majlis seterusnya.

Sultan Ibrahim berserta rombongan KMJ 2017 seterusnya dijangka berangkat ke Mersing Harbour Centre, di sini, untuk majlis perasmian bangunan berkenaan.

Di bangunan itu juga, kerabat DiRaja Johor dipersila melawat pameran dan aktiviti yang telah disusun.