SEGAMAT – Calon BN Parlimen Sekijang, Datuk Ayub Rahmat kesal Perumahan Generasi Belia Felda (PGBG) dijadikan sebagai bilik gerakan PKR.

Ayub berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku kerana beliau sendiri yang menyokong permohonan rumah tersebut selain menyerahkan borang dan notis tanah kepada mereka yang layak.

“Sepatutnya sekarang mereka sokong saya dan calon-calon BN yang lain di Parlimen Sekijang. Ini tidak apabila mereka jadikan pula rumah PGBF yang diusahakan kerajaan untuk menentang kerajaan pula.

“Saya dan calon Dun Kemelah, Anuar Abdul Manap tidak minta banyak kerana apa yang kami mahukan adalah sokongan dan penggunaan PGBF sebagai bilik gerakan PKR ini memang meninggalkan kesan di hati saya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemeriksaan Kesihatan Komuniti Bersama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) di Dewan Serbaguna Felda Kemelah, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau yang sebelum ini Adun Kemelah juga telah bekerja keras selama ini untuk memastikan pembangunan di kawasan Felda tersebut dapat dilaksanakan dengan membawa projek-projek pembangunan.

“Sekarang, kerajaan sedang menyiapkan projek-projek meluruskan simpang masuk di Felda Kemelah yang menelan kos sebanyak RM4 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

“Selain itu, kerajaan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) telah memperuntukkan sebanyak RM550,000 untuk membaiki dan menurap jalan di dalam kawasan Felda Kemelah ini dan semuanya adalah untuk keselesaan rakyat,” katanya.

Katanya, beliau juga berharap kewujudan bilik gerakan PKR di Felda Kemelah ini juga tidak menjejaskan sokongan pengundi di tanah rancangan tersebut kepada BN dan memutuskan kepada rakyat untuk memilih calon terbaik.