JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor tampil membuat beberapa penjelasan dan penegasan berhubung isu perobohan kuil yang terletak di atas tanah milik persendirian pada Khamis lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, didapati wujud beberapa kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat umum tentang fakta dan keadaan sebenar isu itu.

Menurutnya, pertama perlu ditegaskan bahawa perobohan tersebut adalah dilakukan oleh individu pemilik sah tanah tersebut atas kapasitinya selaku pemilik tanah dan bukannya oleh pihak kerajaan negeri atau mana-mana agensi kerajaan.

“Kedua, ia sebenarnya dirobohkan dengan kebenaran perintah mahkamah yang dipohon secara persendirian oleh pemilik sah tanah tersebut dan tidak melibatkan pihak kerajaan negeri.

“Ketiga, kerajaan negeri sebenarnya pernah mencadangkan sebidang tanah baharu untuk menggantikan kuil di tanah persendirian tersebut. Bagaimanapun, cadangan tanah baharu oleh kerajaan negeri tersebut telah ditolak oleh pihak kuil yang berkeras untuk kekal di atas tanah milik persendirian di dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kuil diroboh ikut perintah mahkamah]

Mohamed Khaled berkata, memandangkan isu itu berlarutan dan mula dipolitikkan, kerajaan negeri sekali lagi menawarkan kepada pihak pengurusan kuil sebidang tanah baharu yang telah dirizabkan sebagai tapak kuil di Jalan Persisiran, Seri Alam.

“Bagi mengelakkan isu ini berpanjangan dan melarat, adalah diharapkan kesediaan kerajaan negeri memberikan tawaran tapak kali kedua ini akan dipersetujui dan diterima baik oleh pihak pengurusan kuil.

“Kerajaan negeri  berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik kepada semua pihak,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :