KOTA TINGGI - Sudah tiba masanya kerajaan tidak menggunakan 'kerajaan baharu' sebagai alasan dalam usaha untuk memperkasakan belia di negeri ini ke arah lebih baik.

Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Manndzri Nasib berpendapat, meskipun terpaksa 'copy paste' apa dilakukan kerajaan terdahulu demi untuk kebaikan belia, ia bukan satu kesalahan bahkan belia Johor tidak kisah jika kerajaan baharu berbuat demikian.

Menurutnya, apa yang penting bagi belia, mereka mahukan jaminan keselamatan kewilayahan, kesejahteraan ekonomi, pendidikan serta peluang menunjukkan bakat.

"Bukan nak bandingkan kerajaan sebelum ini dengan kerajaan lama kerana yang lama sudah mempunyai pengalaman. Di Johor sebelum ini ada muafakat Johor, Johor berkemajuan, dekad baharu Johor.

"Mungkin kerajaan sekarang boleh sediakan naskhah untuk rujukan umum seperti mana kerajaan sebelum ini.

"Saya kira kita perlu beri masa secukupnya kepada kerajaan baharu. Tetapi tidak boleh beri alasan sebagai kerajaan baharu untuk pertaruhkan masa depan bangsa Johor terutama orang muda," katanya.

Manndzri berkata, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya kerajaan baharu mengambil pasukan lama bergabung demi kebaikan belia Johor.

Jelasnya, beliau melihat perkara seperti Johor future yang dibelanjakan untuk mengupayakan kesukarelawanan di kalangan belia wajar diteruskan kerana keutamaan dapat melatih orang muda untuk rasa tanggungjawab dan kepimpinan yang mana menjadi kriteria utama membentuk sebuah wilayah, negeri serta negara maju.

"Perkara macam ini yang perlu dilihat. MBNJ apa yang ada dulu kita dapat, jika boleh tak mahu kurang sebaliknya kalau boleh dipertambah elok untuk gerakan belia. Jadi kerajaanlah yang kena ambil peranan ini.

"Kerajaan juga kena ambil peranan bimbing, jangan bunuh sukarelawan kerana orang muda ini ramai. Mengikut data saya pada 2015,  ada lebih 166,000 belia berpersatuan di bawah ribuan persatuan.

"MBNJ berjalan seperti biasa kita akan bekerja dengan kerajaan 'goverment of the day' kecuali kerjasama dengan komunis kita tak mahu.

"Hari ini MBNJ menjadi kuasa pengimbang, suara ketiga yang betul kita cakap betul, yang kurang betul kita cakap kurang betul supaya ada pengimbangan," katanya.