KULAI - Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 melabuhkan tirainya selepas empat hari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mendampingi rakyat dengan menempuh perjalanan sejauh 808 kilometer di seluruh negeri ini.

Baginda Tuanku selamat berangkat tiba di Majlis Penutup KMJ 2017 di Hutan Bandar, Bandar Putra, di sini, sekitar jam 4 petang.

Meskipun kembara kali ini menyaksikan Sultan Ibrahim meredah hujan lebat dan panas terik, namun ia tidak sedikit menjadi penghalang buat baginda Tuanku meneruskan perjalanan bersama rombongan untuk menemui rakyat di semua daerah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam sembah ucapannya berkata, KMJ meninggalkan tiga mesej penting yang harus rakyat Johor hayati dan banggakan.

Menurutnya, mesej pertama adalah KMJ telah menjadi satu identiti besar negeri dan bangsa Johor.

"Mesej kedua adalah KMJ merupakan salah satu cara bagaimana agenda pembangunan negeri ini, sentiasa dilakukan secara beramai-ramai.

"Dan mesej ketiga merupakan KMJ menjadi peringatan kepada seluruh bangsa Johor betapa bertuahnya dinaungi sultan yang berjiwa rakyat," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday.

Beliau turut mengajak semua rakyat Johor, marilah kita sekali menjunjung setinggi-tinggi kasih dan menitipkan doa yang tidak pernah putus-putus buat baginda Tuanku dan sekalian keluarga DiRaja.