SKUDAI – Pasangan kembar seiras teruja mendaftar masuk sebagai penuntut baharu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, semalam.

Nurul Nadiah Abdul Halim dan Nurul Najwa yang masing-masing berusia 21 tahun ditawarkan pengajian bagi sesi 2017/2018 untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia.

Menurut Nurul Nadiah, mereka bersyukur sekali lagi dapat melanjutkan pelajaran bersama-sama selepas sebelum ini masing-masing tamat Diploma Pengurusan Teknologi dari UTM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

“Tentu sekali kami berasa gembira kerana tidak perlu berpisah. Lagipun kami tidak pernah berpisah sejak kecil.

“Walaupun kali ini berlainan bilik, kami gembira dapat mendaftar jurusan dan kolej kediaman yang sama. Jadi, lebih mudah kami mahu mengulang kaji pelajaran,” katanya.

Mereka yang berasal dari Johor Bahru tetapi kini sudah menetap di Bangi, Selangor berharap dapat memperoleh anugerah dekan pada setiap semester sepanjang pengajian di UTM.

“Kami jarang bergaduh kerana masing-masing satu kepala. Kami juga turut mempunyai cita-cita yang sama iaitu dapat bekerja dalam bidang sumber manusia selepas tamat pengajian,” katanya selepas mendaftar masuk ke Kolej 9 UTM, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, seramai 6,101 pelajar ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda dan pasca siswazah bagi pengambilan kali ini.

“Ia melibatkan 4,012 pelajar sarjana muda membabitkan 3,612 pelajar tempatan dan 400 pelajar antarabangsa.

“Seramai 1,235 pelajar mendaftar bagi pasca siswazah melibatkan 1,015 pelajar tempatan dan 220 pelajar antarabangsa.

“Manakala, pelajar peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) melibatkan seramai 854 pelajar yang mana 401 pelajar tempatan dan 453 pelajar antarabangsa menjadikan ketika ini pelajar PhD mencecah seramai 5,976,” katanya selepas mengadakan sesi lawatan di Kolej Rahman Putra, di sini, semalam.