KLUANG - "Kami masih perlukan kereta api."

Itu luahan penduduk  di kawasan Chamek dan sekitarnya yang merayu agar perkhidmatan stesen kereta api kembali beroperasi sebagai pengangkutan utama ke Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Singapura.

Sejak pertengahan Jun lalu perkhidmatan stesen kereta api itu dihentikan atas alasan ketiadaan penumpang.

Keadaan itu memaksa penduduk ke Stesen Keretapi Kluang untuk menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Kepada Sinar Harian penduduk  memberitahu stesen kereta api masih diperlukan terutama bagi ahli keluarga yang bekerja di luar Kluang.

Kata penduduk Chamek, You Kong Hoa, 60,  sejak perkhidmatan Stesen Keretapi Chamek dihentikan adiknya sukar untuk pulang ke rumahnya pada setiap minggu.

Dia terpaksa pergi ke Stesen Keretapi Kluang yang terletak lebih kurang 20 kilometer dari rumahnya untuk mengambil adik yang bekerja di Singapura.

“Sebelum ini, adik saya boleh turun terus di Chamek tetapi sekarang saya terpaksa keluar awal untuk ambil dia.

“Sejak dihentikan, saya minta adik balik waktu siang. Bila kereta api tak berhenti di sini memang beri kesan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, anak jati Chamek, Ng Choo Pin, 70, berharap perkhidmatan Stesen Keretapi Chamek dibuka semula bagi kemudahan rakyat tempatan di situ.

Walaupun tidak ramai yang gunakan perkhidmatan kereta api tetapi dia dan ahli keluarganya antara yang menggunakannya setiap kali hendak ke Kluang dan Paloh.

“Saya tak ada kereta hanya guna kereta api untuk ke bandar Kluang dan Paloh.

“Anak saya juga guna kereta api  tiap hari untuk pergi kerja di Kluang tetapi disebabkan jadual masa yang tak menentu adia terpaksa naik  motosikal. Kami lebih selesa guna kereta api.

“Sekarang penduduk pun terpaksa pergi Kluang untuk beli tiket,” katanya.

Sementara itu, Adun Paloh, Teoh Yap Kun telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan surat susulan berkaitan masalah penduduk itu telah dihantar kepada pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

“Kita sedang tunggu tindakan susulan. Saya berharap kereta api dapat berhenti semula di Stesen Chamek.

“Memang sudah dua tahun tidak digunakan tapi penduduk masih perlukannya. Saya harap penduduk dapat bersabar,” katanya ketika dihubungi, semalam.