JOHOR BAHRU – Pasangan suami isteri dari Kulai, dekat sini, merayu anak mereka berusia 24 tahun pulang semula ke pangkuan keluarga selepas setahun tidak dapat dihubungi.

Peniaga, Ho Seng Yeow, 55, berkata, anak sulungnya, Ho Zheng Han yang merupakan pelajar perubatan tahun tiga di Universiti of Cambridge, United Kingdom gagal dijejaki selepas pelajar itu memohon menangguhkan pembelajaran pada September tahun lalu.

Menurutnya, dia dan isteri hanya dimaklumkan mengenai penangguhan berkenaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang membiayai pengajian anaknya di universiti berkenaan.

“Saya mendapat tahu dia sudah pulang ke Malaysia pada September tahun lalu tetapi tidak pulang menemui kami. Hasil semakan kami melalui Jabatan Imigresen juga mendapati dia ada beberapa kali keluar masuk ke Singapura dari Johor Bahru.

“Kami gagal menghubunginya sejak setahun lalu dan dia juga tiada menghubungi keluarga,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Biro Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan MCA di sini, Ahad lalu

Seng Yeow berkata, dia mengakui bahawa anak sulungnya seorang yang sangat berdikari dan tidak suka menyusahkan keluarga namun mereka bimbang mengenai keselamatan Zheng Han yang sudah lama tidak ditemui.

“Biasanya kami akan berhubung menerusi aplikasi Skype dua atau tiga bulan sekali. Kali terakhir kami bertemu dengannya adalah pada dua tahun lalu ketika dia pulang pada cuti semester, saya dan isteri amat merinduinya.

Ho Seng Yeow

“Kami berharap dia dapat pulang segera ke rumah dan kami sedia berbincang serta berfikiran terbuka mengenai keputusannya dalam pelajaran,” katanya.

Katanya, dia juga ada menemui beberapa rakan sekolah anaknya untuk mencari Zheng Han namun tidak menemui sebarang maklumat dan berharap ada antara mereka yang dapat memujuk anaknya itu pulang ke rumah.

“Dia sepatutnya memulakan pengajian semula pada bulan ini dan JPA memberi tempoh sehingga akhir September.

“Saya percaya dia mungkin bekerja atau tinggal bersama orang dikenalinya dan berharap ada pihak dapat memujuknya supaya menemui kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan MCA, Michael Tay Chee Boon turut meminta kerjasama orang ramai yang ada menemui Zheng Han memujuknya pulang ke pangkuan keluarga.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BAGAN SERAI - Sepasang suami isteri merayu anak bongsu mereka pulang segera apabila menghilangkan diri selepas keluar bekerja di sebuah premis di pusat bandar Bagan Serai, di sini, Isnin lalu.
  • PASIR GUDANG - "Saya sanggup taruhkan nyawa asalkan anak kami pulang dengan selamat," demikian luahan seorang operator pengeluaran, Mohd Sharin Mahmood, 50, yang tidak dapat menahan kesedihan mengenai kehilangan anak tunggalnya sejak Selasa lalu
  • SEGAMAT - Seorang ibu tunggal di Bandar IOI, di sini, meminta bantuan orang ramai mengesan anak lelakinya, Danish Haiqal Khawarizmie Mohd Nazri,11, yang terpisah kira-kira sembilan tahun lalu selepas dilarikan oleh bekas suaminya.
  • SELAMA - Sepasang suami isteri merayu orang ramai membantu mengesan anak perempuan mereka berusia 17 tahun selepas didakwa tidak pulang ke rumah di Kampung Baru Sungai Dendang, di sini, sejak enam hari lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.