JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengakui sukar mewujudkan laluan khas motosikal di jalan tertentu di bawah seliaan mereka berikutan kekangan ruang.

Datuk Bandarnya, Burhan Amin berkata, bagi mewujudkan laluan khas berkenaan agak sukar khususnya di kawasan bandar raya lama seperti Johor Bahru berikutan ruang terhad selain dikelilingi bangunan sedia ada.

“Kami sedar dengan adanya laluan motosikal ia membantu mengurangkan risiko kemalangan kepada penunggang dan pembonceng kenderaan ini terutamanya di laluan yang sering berlaku kesesakan lalu lintas pada waktu puncak,” katanya.

Burhan berkata, situasi berkenaan tidak boleh dibandingkan dengan jalan raya yang mempunyai laluan motosikal seperti di Pontian kerana ia mempunyai keluasan mencukupi berbeza dengan Johor Bahru.

“Ada cadangan daripada peringkat Kerajaan Pusat untuk menaik taraf Sungai Segget dengan membina dua terowong bagi mengasingkan air kotor dengan yang bersih, sekiranya ia dilaksanakan akan wujud ruang yang sesuai untuk dijadikan laluan motosikal,” katanya kepada Sinar Harian, ketika melawat Kampung Ubi Baru, di sini, yang menghadapi masalah banjir kilat akibat masalah saliran kesan daripada projek penambahan jalan.

“Sekiranya projek menaik taraf Sungai Segget dijalankan terdapat lebihan ruang di Jalan Wong Ah Fook, justeru kita yakin ia sesuai untuk dijadikan laluan motosikal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihaknya turut mencari penyelesaian masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk di Kampung Melayu Majidee akibat kesan penambahan lencongan pada saluran pebentung Sungai Bala.

“Walaupun projek berkenaan dijalankan jabatan lain namun kita tetap memikirkan kaedah sesuai menangani masalah berkenaan termasuk memperbaiki sistem saluran disepanjang 100 meter Sungai itu,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.