JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) akan melatih dan memberi tauliah kepada akauntan profesional luar bagi melancarkan pelaksanaan Program Jaminan Pematuhan GST Malaysia (MyGCAP).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam berkata, menerusi program tersebut, akauntan profesional luar diperlukan untuk melakukan audit ke atas orang berdaftar GST.

“Pada awalnya iaitu untuk tahun ini, kita hanya buka program ini pada syarikat -syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham. Kedua, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ketiga mana-mana syarikat yang mempunyai perolehan tahunan lebih daripada RM100 juta.

“Hanya tiga kategori ini sahaja dibenarkan (sertai MyGCAP) untuk tahun ini. Tahun depan kita mungkin akan kaji balik,” katanya kepada pemberita pada sidang media Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam SeMalaysia Ke-84 di sini, hari ini.

Subromaniam berkata, program MyGCAP dilancarkan kepada pihaknya mendapati terdapat banyak salah faham mengenai GST dalam kalangan syarikat-syarikat besar.

“Saya tak kata mereka ini menipu, tidak. GST ini cukai transaksi. Jadi ada kemungkinan syarikat itu pun tak tahu semasa mereka mula-mula buat persediaan, mungkin ada beberapa perkara yang didapati tidak betul.

“Jadi sebelum kita (Kastam) nak pergi audit, kita nak bagi peluang kepada syarikat-syarikat ini untuk perbaiki sistem mereka. Caranya ialah melalui program MyGCAP ini,” katanya.

Beliau berkata, atas sebab itu, kastam akan mula melatih akauntan profesional luar berkenaan pada 20 April ini.

Katanya, tiga badan profesional iaitu Institut Akauntan Malaysia (MIA), Institut Percukaian Malaysia (CTIM) dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) akan menganjurkan kursus bersama kastam.

“Akauntan-akauntan yang lulus kursus ini serta temu duga yang akan dikendalikan kastam, mereka akan dilantik sebagai jurutaksir bebas GST.

“Jadi syarikat boleh ambil golongan ini untuk melihat sistem (GST) mereka, rangka kerja kawalan mereka dan penyata-penyata GST yang telah pun mereka kemukakan selama ini. Dan mereka (akauntan yang lulus) diperlukan untuk menghantar satu laporan audit kepada kastam,” katanya.

Subromaniam berkata, program MyGCAP bertujuan menggalakkan orang berdaftar GST secara sukarela mengurus risiko GST dan memperbaiki pematuhan melalui satu rangka kerja kawalan berkenaan serta mantap.