KOTA TINGGI - Di saat terdapat kepimpinan tertinggi Umno mengambil keputusan keluar parti, sebaliknya Pemuda Umno Tenggara menyatakan kesetiaan mereka kepada Umno.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib berkata, pemuda Tenggara bertekad untuk kekal setia bersama parti keramat itu.

Menurutnya, janji berkenaan diungkapkan sendiri ketua-ketua cawangan pemuda Umno dan ahli jawatankuasa Pemuda Tenggara bahagian itu dalam program retreat Pemuda Umno dianjurkan.

Katanya, program selama dua hari itu bertujuan untuk merangka strategi bagi pergerakan pemuda Umno terus bergerak aktif melaksanakan aktiviti-aktiviti di setiap cawangan dalam bahagian Tenggara.

"Dalam program ini, ianya turut diserikan dengan aktiviti menjaring ikan yang secara tersiratnya mengajar erti tidak berputus asa dalam kalangan pemuda untuk mendapatkan hasil yang banyak.

"Peserta juga disuntik dengan semangat yang baru dan mereka disiap siagakan agar terus dapat berbakti dan menawan hati anak muda di bahagian ini. Perkara ini amat penting untuk memastikan Umno kekal relevan,"katanya.

Tambahnya, usaha berkenaan juga bertujuan mahu memastikan Umno sebagai sebuah parti yang terus menjadi juara di hati rakyat Malaysia amnya dan Tenggara khususnya.

Terdahulu, program berkenaan disempurnakan Ketua Umno Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Manndzri berkata, ketua bahagian meletakkan harapan yang besar kepada barisan kepimpinan anak muda di bahagian Tenggara ini melalui program tersebut.

"Beliau mengharap semua anggota pemuda Umno bekerja kuat dan tidak leka serta bersiap sedia menangkis fitnah juga janji palsu Pakatan Harapan.

"Seperti mana kata bapa saya, Umno ini jangan dikhianat, biar tinggal seorang bapa tetap bersama Umno. Begitu juga saya,"katanya lagi.