KOTA TINGGI - Kedua-dua belah kaki murid Madrasah Tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang diambil selepas kuburnya di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur disini digali semula petang semalam dijangka akan ditanam semula dalam tempoh tiga hari.

Perkara itu dimaklumkan datuknya, Ahmad Motai, 67, yang turut memberitahu proses menggali kubur Allahyarham itu melibatkan lebih 100 orang terdiri daripada anggota polis, unit forensik, jabatan agama islam, doktor, majistret tanpa kehadiran orang awam.

Menurutnya, dia difahamkan kedua belah kaki Allahyarham dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk urusan forensik bagi membantu siasatan lanjut kes melibatkan cucunya itu.

Katanya, dia dimaklumkan tentang kerja menggali kubur arwah kira-kira jam 11 pagi semalam dan proses menggali hanya melibatkan pengambilan kedua belah kaki arwah kira-kira setengah jam manakala tubuh badannya tidak diusik.

"Sebagai ahli keluarga kami sudah redha dengan pemergian arwah, kami juga tidak ada masalah apabila dimaklumkan tentang hal ini. Semasa doktor mengambil kaki arwah seperti mana ia ditanam empat hari sebelum arwah meninggal dunia begitu jugalah keadaan kakinya masih elok.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah masih elok seperti baharu dikebumi semalam]

"Kami dimaklumkan kakinya akan ditanam semula dalam tempoh tiga hari dan sekali lagi akan melibatkan penggalian semula kubur arwah.

"Kami sebenarnya sudah agak perkara ini akan berlaku kerana ketika kaki arwah dipotong kami difahamkan tidak ada bedah siasat dijalankan,"katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya dekat Felda Bukit Aping Timur, hari ini.

Tambahnya, tidak dinafikan berita penggalian semula kubur itu mengejutkan ahli keluarganya sehinggakan isterinya Masnah Sidik, 64 jatuh demam.

Katanya, lebih-lebih lagi ia melibatkan cucu sendiri, bagaimanapun mereka menerima ujian itu dengan baik dan yakin Allahyarham cucunya kini tenang di alam sana.

"Kami juga tidak mahu memanjangkan hal tersebut dan tidak mahu ada dakwa dakwi lagi. Malah sebolehnya mahu meringankan hukuman pembantu warden berkenaan sekiranya dia disabitkan kesalahan," katanya lagi.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA TINGGI - "Arwah tidak mahu saya terus bersedih...,"kata ibu Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, Felda Wani Ahmad, 40 ketika menceritakan mimpi bertemu Allahyarham anaknya itu minggu lalu.