MERSING - Kedatangan bulan Ramadan diceriakan dengan inisiatif jualan murah pelbagai jenis barangan dapur di Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar), Mersing.

Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Johor (Operasi), Shahrizal Sudiman berkata, inisiatif berterusan itu akan dilaksanakan setiap hari Jumaat dan sehari sebelum 1 Syawal nanti.

“Jualan hari ini (semalam) sebagai persediaan pengguna untuk menyambut Ramadan yang  mana barangan dapur dijual pada harga sangat berpatutan.

“Kita akan adakan jualan sama setiap Jumaat juga di Pakar ini dan sehari sebelum Syawal nanti. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk kurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Pasar Tani Khas Ramadan dan Program Jimat Belanja Dapur Daerah Mersing, semalam.

Shahrizal melancarkan harga murah pada ‘Happy Hour’ bagi barangan keperluan seperti ayam, kentang, minyak dan bawang.

Pelbagai barangan kawalan ditawarkan ketika jualan khas tersebut pada harga yang lebih rendah daripada pasaran termasuk minyak masak, tepung, gula, bawang, kentang, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Menurutnya, barang-barangan segar yang dijual diperoleh langsung daripada ladang.

“Usahawan yang terlibat dalam program ini ialah usahawan di bawah ladang kontrak.

“Semua produk jualan terus daripada ladang jadi harga yang ditawarkan lebih rendah daripada pasaran,” katanya.

Katanya, pengguna juga tidak perlu bimbang kerana bekalan barangan keperluan mencukupi menjelang Syawal nanti.

Dalam perkembangan terkini, Fama Johor juga sedang giat menganjurkan Pesta Buah Mangga di Singapura termasuk buah harum manis dari Perlis.