JOHOR BAHRU - Seorang ibu kepada tiga anak kini bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan nasi lemak setiap hari selepas suaminya tidak mampu untuk bekerja sejak April lalu.

Rohana Mat Ripin, 44, berkata, keluarganya kini bergantung sepenuhnya kepada perniagaan kecilnya itu yang mana hanya mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM30 sahaja sehari.

Dia yang berniaga setiap pagi di bawah blok di Flat Taman Mount Austin itu berkata, hasil pendapatan diterima juga tidak menentu kerana bergantung kepada jumlah pelanggan dan cuaca.

“Selalu kalau hujan, hasil perniagaan merosot kerana memang kurang pelanggan hingga hasil jualan hanya boleh dapat antara RM10 hingga RM20 sahaja.

“Saya sebenarnya dah berniaga daripada Februari, tetapi sebelum ini saya cari duit ini untuk menambah pendapatan keluarga beza sekarang inilah satu-satunya punca pendapatan keluarga kami,” katanya ketika menerima kunjungan daripada wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor (Maij), Mohd Nasir Ishak.

Rohana berkata, suaminya, Syed Sahab Syed Mohamad, 50, merupakan bekas pemandu lori kini tidak lagi mampu bekerja kerana mengalami masalah penglihatan berpunca daripada masalah saraf selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya April lalu.

“Sebelum ini pendapatan bulanan suami adalah kira-kira RM1,800 namun suami terpaksa berhenti kerja sejak April  memandangkan kedua belah matanya kabur hingga tidak mampu memandu kenderaan terutama pada waktu malam.

“Dia berusaba mencari kerja lain namun gagal mendapatkan pekerjaan kerana faktor kesihatan dan usianya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir ketika kunjungannya turut memberikan sedikit bantuan berupa wang dan barangan keperluan harian.

Katanya, pihaknya juga akan membantu memberikan borang untuk memohon bantuan sara hidup bulanan.