JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memperuntukkan RM2 juta bagi membiayai 303 bakal haji rombongan kerajaan negeri tahun ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua jemaah akan berlepas menunaikan haji menerusi dua penerbangan pada 11 dan 12 Ogos ini.

"Tahniah saya ucapkan atas pemilihan dan peluang untuk mengerjakan haji. Pihak kerajaan negeri mendoakan yang terbaik untuk tuan-tuan dan puan-puan semua, semoga dipermudahkan segala urusan dan diterima amalan," katanya pada majlis meraikan bakal haji rombongan kerajaan Johor, di sini, hari ini.

Beliau turut berpesan kepada semua bakal haji supaya menjaga keselamatan dan kesihatan semasa berada di Tanah Suci.

Bakal haji juga diminta supaya menjalani ibadat dengan penuh penghayatan bagi memperoleh haji mabrur selain mendoakan kebaikan buat Malaysia, Johor dan seluruh masyarakat.

"Benar kerajaan negeri dan seluruh jentera kerajaan yang ada hari ini bekerja keras siang dan malam memikirkan bagaimanakah cara serta pendekatan terbaik untuk kita menjadikan Johor ini negeri terbaik.

"Usaha demi usaha kita gembleng dan laksanakan, namun, sebagai orang Islam, kita juga yakin dan percaya betapa doa itulah senjata dan kekuatan terbaik kita," katanya.

Sementara itu, seorang bakal haji, Pauziah Ali, 60, melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada kerajaan Johor kerana memberikannya peluang menunaikan haji bersama suami, Saniman Sidin, 67.

Beliau yang berkerusi roda kerana lumpuh sebelah kanan badan sejak 4 Feb lepas, memohon untuk mengikuti rombongan itu Mac lepas dan berharap mampu menunaikan ibadat dengan baik.

"Pada mulanya saya separuh hati hendak pergi atau tidak menunaikan haji, namun, saya akan meneruskan niat ini dan tawakal kepada Allah SWT," katanya yang juga sedang menanti permohonan agar anak perempuannya, Nurzihan Saniman, 35,  dapat sertai  rombongan itu bagi membantu pelbagai urusannya di sana kelak. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Guru sekolah agama di negeri ini dinasihatkan agar mempertahankan kuasa politik Melayu dan Islam dengan menolak parti politik yang bercelaru.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.