ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor mahu kaji semula segitiga pertumbuhan ekonomi antara Singapura, Johor dan Riau (Sijori) sebagai usaha meningkatkan hubungan ekonomi antara negara yang terlibat.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, walaupun kerjasama berkenaan telah lama diperkenalkan, tetapi ideanya masih relevan sehingga kini bagi memastikan pembangunan ekonomi terus berkembang.

Menurutnya, Johor khususnya Iskandar Malaysia memiliki kelebihan dalam sudut lokasi membentuk segi tiga antara tiga buah negara dan ia perlu dimanfaatkannya sebaik mungkin.

“Sekarang adalah dunia global yang mana setiap pihak perlu bekerjasama khusus dengan jiran terdekat dalam pembangunan ekonomi.

“Kita perlu guna kelebihan negara jiran untuk pastikan pembangunan ekonomi negeri ini terus dipertingkat selari dengan negara jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pembukaan Big Wheel Seedbank@Iskandar Sunway dekat Bandar Medini di sini, semalam.

Hadir sama; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar Malaysia (Irda), Datuk Ismail Ibrahim dan Pengasas dan Pengarah Urusan Big Wheel Seedbank, Michael Chang.

Jimmy berkata, kerajaan negeri bercadang bertemu dengan Singapura dan Indonesia bagi membincangkan hasrat memulihkan segitiga pertumbuhan ekonomi ini.

“Sijori saya kira tidak akan menjejaskan peranan yang dimainkan Irda dalam menarik pelaburan ke Iskandar Malaysia sejak penubuhannya.

“Malah, sebaliknya, Irda dan Sijori dapat bekerjasama untuk meningkatkan kegiatan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada ketiga-tiga negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, salah sebuah syarikat di Singapura berminat untuk melabur dalam bidang elektronik di Iskandar Malaysia.

“Saya telah mengadakan lawatan ke Singapura pada bulan lepas yang mana saya telah mengadakan perbincangan dengan pelabur-pelabur di negara itu.

“Hasilnya, salah sebuah syarikat telah datang ke Johor dan menyatakan hasratnya untuk membuka kilang di sini (Iskandar Malaysia) dengan jumlah pelaburan kira-kira RM300 juta,” katanya.