ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor komited membangunkan sistem pengangkutan awam negeri ke tahap efisien demi keselesaan dan kebajikan rakyat termasuk di pintu masuk negara.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, dua jawatankuasa khas pasukan petugas ditubuhkan iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Jawatankuasa khas task force di BSI diketuai Adun Stulang, Andrew Chen Kah Eng manakala Adun Perling, Cheo Yee How bagi KSAB.

“Jawatankuasa tersebut akan memantau secara sepenuh masa menangani masalah dan memastikan mutu perkhidmatan dan kecekapan operasi di KSAB dan juga BSI,” katanya pada sidang media selepas hadir pembentangan dan mesyuarat bersama agensi-agensi yang terlibat dalam pengoperasian KSAB, Tanjung Kupang, semalam.

Mazlan berkata, jawatankuasa itu juga memainkan peranan memikirkan cadangan-cadangan yang sesuai bertujuan penambahbaikan jangka pendek dan panjang.

“Ini termasuk mengenal pasti punca-punca masalah dari segi sumber manusia, kemudahan aset dan logistik,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat tersebut, beliau berkata, banyak perkara diutarakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia antaranya aspek teknikal serta kekangan bajet.

“Kita sudah perhalusi perkara-perkara tersebut dan ambil nota. Perkara-perkara ini akan kita angkat dalam satu kertas kerja yang kita akan hantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin dan salinan kepada Menteri Besar, Datuk Osman Sapian untuk tindakan selanjutnya.

“Di samping itu juga, ada perkara-perkara yang akan kita bincang kerajaan dengan kerajaan antara Malaysia-Singapura. Yang lain-lain itu melibatkan hal dalaman dari segi aspek teknikal macam penyelenggaraan, kekurangan kakitangan, keselesaan, kebajikan serta pengimbas,” katanya.

Mazlan berkata, masalah dari segi tidak cukup ruang untuk menerima pelancong dari luar negara juga dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

“Ini saya minta kefahaman rakyat juga, bangunan ini sebenarnya reka bentuk ia dulu tidak ambil kira lambakan pelancong-pelancong yang kebelakangan ini ramai masuk ke Malaysia. Dan perkara ini telah diambil kira oleh Jabatan Pengurusan Harta daripada persekutuan.

“Sebenarnya mereka pun sudah buat kertas cadangan untuk penambahbaikan pembesaran tempat perlindungan dan ruang menunggu bagi ketibaan pelancong,” katanya.