JOHOR BAHRU - Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor (Jewel) menjelaskan menerima aduan mengenai kes penderaan seksual dan fizikal di kalangan kanak-kanak hampir setiap minggu.

Presidennya, Liza Alip berkata, perkara tersebut sangat membimbangkan dan berikutan itu pihaknya kini lebih serius dan fokus membantu golongan berkenaan.

“Dalam sebulan antara tiga hingga kes yang kami terima berkenaan aduan penderaan seksual dan fizikal. Ini bermakna boleh dikatakan hampir setiap minggu kami menerima aduan berhubung masalah tersebut.

“Kebiasaannya kita akan memberi nasihat apa tindakan selanjutnya yang mereka perlu dilakukan. Adakalanya mereka khuatir melaporkan kepada pihak berkuasa kerana kes seperti ini memakan masa yang panjang kerana memerlukan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Minum Petang bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bersempena pengumpulan dana amal bagi kempen Tindak (Tindak Demi Anak Kita) anjuran Jewel di Hotel Grand Bello, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur program itu, V Thanam.

Sementara itu, Thanam berkata, pihaknya giat menjalankan program kesedaran dan pencegahan bagi menjayakan kempen Tindak yang ditubuhkan penghujung 2016 dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, pasukan kami telah mengadakan latihan melibatkan kaunselor di sekolah membabitkan 906 sekolah rendah sejak tahun lalu.

“Latihan itu memberitahu bagaimana mengendalikan sesi latihan pendek mengenai kesedaran penderaan seksual kepada murid-murid di sekolah khususnya mereka yang menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan ada segelintir masyarakat malu untuk tampil bagi mengakui kesalahan tersebut apatah lagi kebanyakkan kes penderaan seksual di kalangan kanak-kanak kebiasannya melibatkan ahli keluarga mereka dan individu yang dikenali.

“Oleh itu, kami berusaha untuk menyebarkan kesedaran untuk mengubah pemikiran mereka supaya lebih berani

“Kami juga mahu memberi pembelaan kepada kanak-kanak yang teraniaya, sekali gus menjatuhkan hukuman setimpal terhadap mereka yang bersalah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas  mengenai majlis Minum Petang bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang akan diadakan pada 21 Jun ini di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Katanya, sebanyak empat barang eksklusif yang akan dibida bagi meraih dana kempen.

“Barang berkenaan ialah beg tangan jenama Hermes Birkin milik Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim, pokok bunga orkid jenis Phalaenopsis ‘hybrid’ baharu dan dua pakaian yang sebelum ini telah dipakai oleh ‘Dutch of Cambridge Kate Middleton’ dan ‘Dushess of Sussex Meghan Markle’ hasil rekaan Han Cong” katanya.