SEGAMAT - Jenazah empat beranak yang terbunuh dalam kemalangan di KM176 Johor Bahru-Seremban berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, di sini, petang semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai, di sini, kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Sebelum itu jenazah Nizam Daud, 51; isteri, Nur Faizilin Jamaludin, 37; dan dua anak mereka, Nur Naqiya, 6 dan Muhammad Niyaz, 2, yang tiba dari Unit Forensik Hospital Segamat kira-kira pukul 8.30 pagi disembahyangkan di Surau Kampung Gemereh, di sini.

Kira-kira lebih 200 ahli keluarga, rakan-rakan arwah dan penduduk setempat datang memberi penghormatan terakhir sebelum kesemua jenazah dikebumikan di dalam suasana pilu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang semalam, kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki lima beranak yang dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke kampung Faizlin di Gemereh, di sini, dirempuh sebuah treler tanpa muatan dari arah bertentangan.

Insiden tersebut menyebabkan empat beranak  tersebut maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi anak mereka, Muhammad Naqib, 9, parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.