• Dari kiri: Muhammad Yusuf, Syed Mohamed dan Abdul Hafiz menunjukkan surat masing-masing
yang diterima. Dari kiri: Muhammad Yusuf, Syed Mohamed dan Abdul Hafiz menunjukkan surat masing-masing yang diterima.
1 /

JOHOR BAHRU – Kira-kira 50 jemaah Masjid Jamek Taman Perling, di sini, semalam, berkumpul bagi mengadakan bantahan secara aman selepas imam II masjid berkenaan dipecat serta-merta mulai awal bulan ini.

Susulan pemecatan jawatan imam oleh jawatankuasa masjid berkenaan, jemaah masjid turut mendapatkan kira-kira 200 tandatangan sebagai menentang keputusan berkenaan untuk diserahkan kepada Pejabat Kadi daerah untuk perhatian lanjut.

Muhammad Yusuf Baharuddin, 34, mendakwa beliau kecewa dengan tindakan drastik jawatankuasa masjid terbabit yang memberi notis 24 jam penamatan tugasnya 1 November lalu dan dilarang memberi sebarang perkhidmatan.

“Saya sudah bertugas di masjid ini lebih setahun lalu dan dilantik secara rasmi selepas menerima tauliah mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri Johor.

“Bukan saya tidak terima. Saya reda dengan ujian ini, cuma saya kecewa dengan cara pemecatan yang saya rasa seperti tidak ikut prosedur.

“Mengikut surat berkenaan, pihak jawatankuasa masjid mendakwa saya telah melanggar peraturan dan etika yang ditetapkan di dalam surat tawaran selain melanggar panduan dan peraturan Jabatan Agama Johor,” katanya, di sini, semalam.

Difahamkan sebelum ini, nasib yang sama turut menimpa seorang lagi imam dan seorang bilal apabila ditamatkan perkhidmatan mereka dan mereka tidak dibenarkan berada dalam kawasan masjid berkenaan tanpa kebenaran jawatankuasa sebelum ini.

Bekas bilal II, Syed Mohamed Syed Abdullah Al-Habsyi, 41, berkata, beliau sudah merujuk permasalahannya kepada Pejabat Kadi daerah dan menerima surat yang menyatakan pergantungan perkhidmatannya telah ditolak.

“Dalam surat tersebut turut dinyatakan Pejabat Kadi daerah memutuskan jawatan saya sebagai bilal dikekalkan dan saya dalam perhatian mereka.

“Tetapi jawatankuasa masjid masih menolak dan memecat saya. Tidak cukup dengan itu, pemecatan saya turut tidak diterima oleh jemaah yang lain. Mereka mengumpulkan hampir 100 tandatangan sebagai tanda tidak setuju dengan keputusan itu.

“Lebih menyedihkan saya turut diberikan surat yang menyatakan tidak dibenarkan berada dalam kawasan masjid. Saya rasa isu ini lebih kepada bersifat peribadi yang mana mereka memberitahu saya telah melanggar peraturan kerana tidak hadir ke mesyuarat,” katanya.

Seorang lagi bekas imam II masjid berkenaan, Abdul Hafiz Abdul Karim, 27, mendakwa dirinya diberi notis selama sebulan, namun turut ditamatkan perkhidmatan sebelum tamat tempoh yang diberikan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalib Abd Rahim berkata, jawatankuasa masjid adalah pihak yang melantik jawatan berkenaan, manakala Pejabat Kadi adalah pihak yang bertanggungjawab memberi tauliah.

“Saya difahamkan Pejabat Kadi telah memanggil jawatankuasa masjid tersebut untuk peringkat perbincangan dan perkara ini masih dalam proses untuk tindakan susulan dilaksanakan kerana maklumat penuh yang berkaitan masih tidak diterima oleh peringkat atasan.

“Memang dia (imam yang dipecat) ada tauliah. Tetapi jawatannya dilantik oleh jawatankuasa masjid dan mereka berhak untuk memecatnya dan pasti pemecatannya dibuat ikut syarat serta mengikut majoriti kerana mungkin jemaah tidak mahu menggunakan khidmatnya lagi.

“Lagipun gajinya dibayar oleh jawatankuasa masjid. Pejabat Kadi daerah pula bertanggungjawab memberi tauliah yang melayakkan dia menjawat jawatan tersebut. Bagaimanapun, pendapatannya pula dibayar oleh masjid berkenaan,” katanya.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan komen daripada seorang daripada ahli jawatankuasa masjid itu gagal kerana apabila dihubungi, beliau  enggan memberikan sebarang kenyataan atau penjelasan berhubung isu berkenaan.