KLUANG - Pemuda Umno Bahagian Kluang menyifatkan janji Kerajaan PH melalui manifesto PRU14  lalu untuk mewujudkan sejuta peluang pekerjaan sekiranya berjaya menawan Putrajaya hanya sekadar retorik semata-mata.

Ketuanya, Mohd Khairul Ishak berkata, ternyata kini janji hanya tinggal janji apabila bukan sahaja tiada pelan perancangan jelas mengenai isu ini malah rangka kerja ke arah merealisasikan peluang pekerjaan juga tidak kelihatan termasuk di negeri Johor.

"Dalam konteks anak muda, berapa ramai yang mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya diploma dan ijazah, tetapi tiada pekerjaan bersesuaian dengan mereka? Seharusnya inilah peluang kerajaan untuk menunaikan janji kepada anak muda kerana mereka ialah kerajaan yang memerintah pada hari ini.

"Mungkin juga sudah tiba masanya pihak kerajaan melihat semula kursus-kursus yang ditawarkan di institut pengajian tinggi sama ada kursus tersebut masih relevan menepati dan memenuhi kehendak sektor pekerjaan pada hari ini atau sebaliknya," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dalam kerangka Kerajaan Negeri Johor, Pemuda Umno Bahagian Kluang turut mempersoalkan perancangan kerajaan negeri dalam mencari kaedah menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda Johor yang baharu menamatkan pengajian.

Katanya, walaupun ada di antara mereka bekerja dengan mana-mana sektor, ianya dilihat tidak bersesuaian dengan kelulusan mereka sewaktu di universiti selain melihat pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,050 yang diumumkan kerajaan dilihat jauh tersasar daripada manifesto PRU14 lalu iaitu sebanyak RM1,500.

"Sebagai contoh, penutupan kilang Malaysia Mosaic Berhad (MML2) di Kluang amat merugikan dari segi peluang pekerjaan dan sumber pendapatan penduduk di daerah ini dan kini, lebih 400 orang pekerja dijangka diberhentikan kilang akibat kerugian ditanggung syarikat. Dijangka lebih banyak kilang di daerah ini akan memberhentikan pekerja akibat kerugian yang berlaku.

"Ditambah pula dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menambah beban kos sara hidup yang semakin meningkat serta menjadi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana dan sebab itu kerajaan perlu tunaikan janji maju wujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan segera," katanya.

Menurutnya, jika janji ini tidak dapat dilaksanakan, ini menunjukkan kelemahan perancangan kerajaan dalam sektor pelaburan dan ekonomi selain Johor perlu memainkan peranan serius merancakkan industri tempatan serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan mengembalikan status antara negeri penyumbang pelaburan terbesar kepada ekonomi Malaysia.

Pada masa sama, beliau turut membidas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa elemen percukaian seperti SST bukanlah satu-satunya penyebab kenaikan kos harga barangan, sebaliknya turut dipengaruhi faktor termasuk pergerakan harga produk terbabit.     

"Sewaktu pemansuhan GST dahulu, kebanyakan harga barangan tidak turun dan apabila pelaksanaan SST pada awal bulan ini, boleh dikatakan kebanyakan harga barangan keperluan harian meningkat mendadak dan memang SST penyebab kos kenaikan harga barangan," katanya.