JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor berpendirian isu mengenai sekolah agama dan pusat tahfiz tidak perlu dipolitikkan.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, institusi-institusi itu di Johor bukan sahaja akan dipelihara malah terus ditambah baik.

“Apatah lagi institusi pendidikan agama Islam di negeri ini telah lama sebati dalam kalangan Bangsa Johor yang majmuk sejak diilhamkan pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar lagi,” katanya kepada SInar Harian.

Osman berkata, peranan yang dimainkan oleh institusi pendidikan agama Islam amatlah penting dalam membentuk asas-asas keagamaan yang kukuh dalam jati diri rakyat.

“Tidak dapat dibayangkan akibatnya kepada umat Islam di negara ini khususnya Johor jika mendapat pendidikan agama yang tidak sempurna atau daripada sumber yang meragukan.

“Selain mengejar kemajuan ekonomi dan infrastruktur, kemajuan dari segi jati diri dan kemanusiaan juga menjadi salah satu asas sebuah bangsa yang kuat dan di sinilah peranan pendidikan agama jelas terpancar kepentingannya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri langsung tidak bercadang untuk mengetepikan institusi pendidikan agama Islam di negeri ini.

“Saya berharap rakyat tidak akan termakan dengan persepsi negatif yang cuba disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, seolah-olah kerajaan hari ini tidak mengambil berat akan institusi-institusi ini,” katanya.