JOHOR BAHRU - Kepimpinan Umno di peringkat bahagian dan ibu pejabat diharapkan untuk tidak sewenang-wenangnya menggantung keahlian ahli atas tujuan pemutihan.

Setiausaha Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, perkara tersebut disuarakan dengan mengambil kira keadaan semasa parti yang kini sedang bangkit dari kekalahan dilalui pada PRU lalu.

“Ada prosedur jika mahu mengambil tindakan kalau betul ada ahli yang sabotaj dan sebagainya.

“Perkara ini perlu dibawa terlebih dahulu ke Jawatankuasa Disiplin Umno. Tidak boleh sewenang-wenangnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ahli Umno di satu bahagian di negeri ini, yang digantung keahliannya bagi tujuan pemutihan.

Difahamkan, pemutihan itu dibuat atas pelbagai isu termasuk lompat parti, sabotaj sebelum dan semasa PRU.

Md Jais berkata, tindakan menggantung keahlian sedemikian rupa disifatkan sebagai tidak adil kepada ahli terlibat khususnya di saat Umno bakal mula bermesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian tidak lama lagi.

“Lainlah kalau mana-mana ahli yang mengisyhtiharkan keluar parti atau menyokong parti lawan seperti mana dibuat oleh tiga Adun (Sedili, Johor Lama dan Endau) sebelum ini. Yang itu perlu digugurkan keahlian serta merta.

“Kita tak nak persepsi masyarakat terhadap parti semakin teruk. Jadi jangan sewenang-wenangnya bertindak seperti itu. Oleh kerana wujudnya perbezaan pandangan, kita gunakan alasan sabotaj untuk gugur atau gantung keahlian,” katanya.

Beliau berkata, masih terdapat ramai ahli parti yang kekal setia dengan parti selepas BN-Umno pasca PRU14.