SEGAMAT – Hasrat Pakatan Harapan (Harapan) untuk memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekiranya memenangi PRU14 hanya akan menjadikan pelajar sebagai mangsa bahan uji kaji.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, sebelum PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012, beliau antara individu yang lantang bersuara menentang dasar berkenaan.

“Pada Perhimpunan Agung Umno pada 2011, saya diberi peluang berucap dan mendesak kerajaan agar memansuhkan PPSMI kerana dasar yang diperkenalkan pada 2003 ini tidak sesuai dan gagal mencapai matlamatnya.

“Jadi bila sudah mansuh sepenuhnya, saya pelik apabila pembangkang hendak mewujudkan semula PPSMI sekiranya menang PRU14 sedangkan kerajaan sedia ada juga ini telah memudahkan segala benda yang sukar,” katanya.

Ayub yang juga Adun Kemelah berkata kepada pemberita selepas merasmikan Kem Akademik Fasa Satu dan Pelancaran Program Perfect A Dun Kemelah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra, di sini, semalam.

Turut hadir, Guru Besar SK Bandar Putra, Mohd Yunos Abdul Rahman; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Johari Marsan dan wakil Majlis Perbandaran Segamat, Jamil Ali.

Menurutnya, beliau bimbang jika PPSMI ini dilaksanakan semula di bawah pembangkang, pelajar akan bertambah bercelaru kerana terdapat beberapa istilah berkaitan sains, kejuruteraan dan matematik tidak dapat ditafsirkan dengan betul.

“Sebenarnya banyak negara maju yang berjaya seperti China, Jepun, Perancis dan Jerman cemerlang bukan kerana penggunaan Bahasa Inggeris, sebaliknya mereka cemerlang kerana berjaya menguasai teknologi.

“Negara-negara ini berjaya menterjemahkan banyak buku teknologi ke dalam bahasa ibunda mereka dan disebabkan itu saya meminta Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) agar lebih banyak menterjemahkan buku-buku yang lebih berilmu ke Bahasa Melayu,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di negara ini, kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran ini perlu lebih diperkasa lagi.

Katanya, beliau yakin sekiranya mahu menguasai penggunaan satu-satu bahasa adalah dari segi penggunaan dan kefahaman terhadap bahasa tersebut dan bukannya memaksa dengan mata pelajaran yang lain.

“Sekiranya pembangkang atau kerajaan mahu melaksanakan semula PPSMI ini, secara tidak langsung ini tidak bertepatan dengan meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan jangan jadikan pelajar sebagai bahan eksperimen,” katanya.