TANGKAK - Semua pihak atasan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini diminta untuk memainkan peranan dalam membendung gejala kecurian barangan hak milik kerajaan di tempat awam.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit selain kesal apabila menerima aduan mengenai sikap sebahagian penduduk yang mengambil harta benda tersebut sebaik tampuk pimpinan kerajaan bertukar tangan.

“Saya memandang berat akan laporan perbuatan sesetengah pihak yang mengosongkan serta memindahkan barangan dan aset di balai raya dan tempat awam lain yang sewajarnya dimanfaatkan untuk rakyat.

“Malah terdapat juga aduan tadika ditutup dan dipindahkan hanya kerana telah berlaku peralihan kerajaan.

“Saya ingin menggesa semua pihak terutamanya warga Ledang untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan. Saya juga menegaskan bahawa tiada arahan yang keluar daripada saya atau rakan-rakan Adun apatah lagi ia di luar bidang kuasa kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Syed Ibrahim berkata, meskipun Pakatan Harapan telah mengambil alih kerajaan persekutuan dan Kerajaan Johor, namun itu tidak bermakna tindakan sesuka hati boleh diambil terhadap premis awam, institusi dan badan-badan seperti balai raya, tadika Kemas dan JKKK.

“Permohonan untuk menggunakan premis awam harus mengikuti proses dan prosedur yang betul di bawah bidang kuasa pihak berkuasa yang berkenaan agar tidak menimbulkan konflik dan polemik negatif dalam kalangan masyarakat.

“Ini selari dengan pekeliling yang dikeluarkan oleh Pegawai Daerah Tangkak kepada semua ketua kampung di Daerah Tangkak bertarikh 14 Mei 2018 yang menggesa semua peralatan atau barang milik kerajaan di balai raya dan bangunan kerajaan dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, hasil tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat sebuah tadika yang dikemas kini semula infrastrukturnya selepas barangan dan peralatan itu dikembalikan.

Seorang penduduk yang enggan dikenali mengakui, terdapat kes pengambilan barangan hak milik kerajaan di kampungnya oleh beberapa penduduk sebaik tamatnya PRU, namun ia dipulangkan semula sejurus menerima arahan pihak atasan.