$entry.content.caption.value
SENAI – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin digesa agar tidak mencampuri hal berkaitan rakyat di negeri ini dan melabel rakyat Johor mempunyai semangat Asabiyah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerah, Datuk Ariss Samsudin berkata, sokongan dan kesetiaan rakyat di negeri ini terhadap Barisan Nasional (BN) adalah berdasarkan kestabilan dan pembangunan yang dibawa oleh pemerintah, sekali gus menyangkal dakwaan daripada Adun Pasir Panjang, Perak itu.
“Dia (Mohammad Nizar) tidak berhak untuk melabel atau beri apa-apa tanggapan pada rakyat Johor. Siapa dia untuk anggap rakyat Johor mempunyai semangat Asabiyah?
“Bagi saya, dia tidak perlu campur urusan negeri ini kerana rakyat dapat melihat pembangunan dan perubahan yang dibawa BN, tidak seperti janji kosong dan retorik yang diberikan pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas kenyataan Mohammad Nizar yang mendakwa rakyat di Johor mempunyai semangat Asabiyah yang kuat sejak BN memerintah negeri ini sejak 54 tahun lalu.
Selain itu, Ariss berkata, kenyataan itu juga menunjukkan rasa cemburu Mohammad Nizar dan pihak pembangkang terhadap kesetiaan yang tidak berbelah bahagi rakyat negeri ini kepada BN.
“Dia tidak perlu cemburu dengan kesetiaan rakyat negeri ini, dia sepatutnya berterima kasih kepada BN di atas pembaharuan dan kemajuan yang telah dicapai hari ini,” katanya.
Sementara itu, Adun Layang-Layang, Onn Mohd Yassin berkata, terpulang kepada Mohamad Nizar untuk melemparkan pelbagai tuduhan, namun rakyat di negeri ini akan tetap berpegang teguh kepada landasan Islam.
“Dia mahu cakap apa terpulang, tetapi kita (Umno) dan rakyat negeri ini tetap berpegang kepada Al-Quran dan Hadis.
“Malah pembangkang juga dapat dilihat tidak melaksanakan sepenuhnya peraturan Islam di beberapa negeri pemerintahan mereka,” katanya.
Selain itu, berhubung isu itu katanya, rakyat berhak untuk membuat penilaian dan memilih kerajaan pemerintah yang dirasakan dapat membawa perubahan dan pembangunan kepada negeri ini.
“Biarlah rakyat yang membuat pilihan sama ada mereka mahu pembangkang yang diterajui DAP menjadi pemerintah mereka di Johor atau BN,” katanya.





