JOHOR BAHRU - Pemilik tanah yang didapati membiarkan kawasan digunakan sebagai tempat pembuangan sampah haram boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Perkara itu dijadikan amaran daripada kerajaan negeri selepas melihat faktor terbabit turut mempengaruhi peningkatan ketara lokasi pembuangan sampah tidak terkawal atau haram berbanding direkodkan tahun-tahun sebelum ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, buat masa ini sebanyak 326 lokasi panas tempat pembuangan sampah sudah dikenal pasti dan daripada jumlah itu, 48 lokasi dikesan aktif.

Menurutnya, jumlah itu menunjukkan perbezaan daripada hanya 169 lokasi tempat pembuangan sampah haram yang diambil tindakan pembersihan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor pada tahun 2014.

"Sebagai pemilik tanah mereka perlu bertanggungjawab untuk memastikan tanah mereka tidak digunakan sebagai tempat pembuangan sampah haram atau berdepan tindakan.

"Kalau apabila kita memberikan notis peringatan kepada tuan tanah masih gagal gagal diambil tindakan sebaiknyal, tindakan selanjutnya kita akan kena kepada tuan tanah sendiri," katanya pada sidang akhbar di Pejabat SWCorp di sini, hari ini.

Hong Pin berkata,  hampir 80 peratus tempat pembuangan sampah haram itu berada di kawasan bandar iaitu di bawah tanggungjawab Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Dalam masa sama, katanya, pembabitan langsung antara SWCorp Johor, syarikat konsesi SWM Environment Sdn Bhd dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai struktur pengurusan sisa pepejal adalah amat diperlukan selain peranan tinggi disumbangkan sendiri masyarakat.

"Orang ramai sentiasa dinasihat supaya tidak membuang sampah atau bahan binaan hasil daripada aktiviti pengubahsuaian di lokasi yang tidak dibenarkan.

"Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terutama membabitkan isu kebersihan awam, malah tindakan tegas seperti membawa setiap kes ke mahkamah akan dijalankan bagi kepentingan dan kebaikan bersama," katanya.