JOHOR BAHRU - Cadangan jambatan bengkok yang ingin dibangunkan semula kerajaan negeri baru-baru ini bukanlah satu keutamaan jika melihat kepada kewangan negara masa kini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, berhubung perkara itu, beliau lebih bersetuju dengan pendapat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang melihat pembinaan hospital dan penambahan bajet sektor kesihatan lebih mustahak.

"Saya menjunjung kasih dan berterima kasih kepada TMJ yang prihatin kepada isu kesihatan rakyat malah dengan tegas dan jelas menyatakan pentingnya Hospital Pasir Gudang segera dibina.

"Lagipun kerajaan persekutuan sekarang menghadapi masalah kewangan dan masalah hutang negara yang tinggi jadi projek seperti jambatan bengkok itu bukanlah keutamaan sekarang," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Selaku wakil rakyat kawasan berkenaan, Hassan turut menggesa pertimbangan dibuat lebih teliti sekiranya projek jambatan bengkok tetap mahu dilaksanakan.

"Setahu saya kerajaan persekutuan tidak ada rancangan untuk bina jambatan bengkok ini, boleh lihat banyak projek mega seperti Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) telah ditangguh kerana penjimatan ini.

"Saya tidak bersetuju waktu ini kita mahu bina jambatan ini, patut beri keutamaan kepada Hospital Pasir Gudang yang mana telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke- 11 dengan kos RM500 juta," katanya.