JOHOR BAHRU - Seorang pekerja buruh bersama anak lelakinya meneruskan tradisi mencabar diri untuk berjalan kaki sejauh 1,400 kilometer menerusi Ekspedisi Merdeka sempena menyambut bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

R Ragu, 43, bersama anaknya, R Surya, 13, memulakan ekspedisi itu di hadapan Balai Polis Danga Bay, Johor Bahru, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam (20 OGOS 2018).

Acara pelepasan itu telah disempurnakan oleh Ketua Balai Polis Danga Bay, Sarjan Mahiyuddin Tuan Nong.

Ragu berkata, Ekspedisi Merdeka itu telah memasuki siri kelima dengan dia menjalankan aktiviti bersempena dengan bukan kemerdekaan negara.

“Saya mula melakukan aktiviti ini pada 2010 yang mana ia merupakan idea daripada anak sulung, Nithya Rubhini, 19, kerana dia lahir pada 16 September 1999.

“Idea tersebut dilihat sangat bagus dan saya lakukannya menerusi aktiviti ‘walk for Merdeka’ bermula dari Alor Setar, Kedah menuju ke Johor,” katanya kepada Sinar Harian.

Ragu yang merupakan bapa kepada lima anak berkata, setiap tahun dia bersama ahli keluarga akan melakukan aktiviti seumpama ini namun pada tahun ini dia bersama anak ketiganya akan berjalan sejauh 1,400 km dari Johor Bahru-Perlis-Ipoh.

Katanya, pada tahun lepas dia menunggang basikal dari utara menuju ke selatan tanah air namun kali ini dia kembali semula berjalan kaki berikutan anak lelakinya itu ingin menyertainya bersama-sama.

“Pada tahun ini isteri saya tidak dapat ikut kerana terpaksa menguruskan anak-anak malah anak sulung saya juga sedang menyambung pelajaran. Jadi, saya sempurnakan cabaran ini bersama anak lelaki saya.

“Ekspedisi jalan kaki ini saya lakukan di bawah Kelab Rekreasi Unik Ipoh kerana saya berasal dari Ipoh, Perak,” katanya.

Apabila ditanya mengenai kos, Ragu berkata, anggaran kos yang dibelanjakan untuk ekspedisi itu lebih kurang RM21,000.

Katanya, kos ekspedisi yang mengambil masa sebulan itu tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak.

“Jika sebelum ini saya mendapat bantuan daripada beberapa agensi bagi merealisasikan ekspedisi ini, namun pada tahun ini saya lebih banyak menggunakan wang sendiri bagi membeli segala kelengkapan yang perlu digunakan sepanjang ekspedisi berjalan kaki ini.

“Bagaimanapun, sepanjang ekspedisi ini saya tidak menghalang mana-mana pihak yang melihat kami dua beranak berjalan untuk menyalurkan sumbangan dan berharap ekspedisi tersebut berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, Surya berkata, ekspedisi berjalan kaki itu merupakan penglibatan kali keduanya dengan harapan dapat memecahkan rekod kakak sulungnya yang berjalan tanpa henti sepanjang hari.

Menurutnya, dia mula mengikuti ayahnya ketika berusia 8 tahun dan berjaya menyahut cabaran tersebut.

“Pada tahun ini saya berada di Tingkatan 1 dan tiada sebarang komitmen jadi ayah meminta kebenaran pihak sekolah untuk bercuti selama sebulan bagi menjayakan ekspedisi pada tahun ini.

“Ayah tidak halang untuk saya ikut sekali malah, saya yang tawar diri untuk menyertai ayah berjalan kaki. Walaupun penat namun saya seronok dapat berjalan sambal melihat kawasan dan negeri orang,” katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael, Ipoh, Perak.