PONTIAN - Seorang pemilik resort di Kukup Laut, bingung selepas mendapati terdapat sebuah akaun facebook yang serupa menggunakan nama resortnya sejak tiga bulan lalu.

Jennifer Gan, 26, berkata, kewujudan akaun Facebook tersebut bukan sahaja mengelirukan tetapi lebih parah, ada yang sudah menjadi mangsa penipuan pemilik laman sosial tersebut.

Menurutnya, taktik yang cukup licik digunakan pemilik laman sosial palsu tersebut untuk menipu pelanggan dengan meminta mereka membayar separuh daripada harga pakej penginapan sebagai deposit tempahan.

“Saya tahu tentang penipuan ini daripada seorang pelanggan yang mendakwa telah membayar wang deposit tempahan hotel sebanyak RM 1,000 kepada pemilik Facebook palsu tersebut, pada pertengahan Jun lalu.

“Pelanggan tersebut kemudiannya terkejut apabila mendapati rupa-rupanya ada dua akaun atas nama resort saya

“Dia kemudian menghubungi saya dan memaklumkan perkara tersebut. Saya kemudian bertindak membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DAP Pekan Nanas, di Jalan Bakek di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Jennifer mendakwa  laman Facebook palsu berkenaan masih boleh dilayari sehingga hari ini.

“Sudah enam tahun saya menggunakan akaun berkenaan  sebagai kaedah untuk mempromosikan resort selain memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat untuk membuat tempahan pakej penginapan dan bilik di sini.

“Saya tidak sangka ada pihak tidak bertanggungjawab guna cara mudah untuk dapatkan untung dengan menggunakan nama resort saya,” katanya.

Dia turut bimbang, nama baik resortnya akan tercemar sekiranya akaun palsu berkenaan terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan undang-undang dikenakan ke atas pemiliknya.

“Saya bingung fikirkan masa depan resort saya. Akaun palsu itu membuatkan pelanggan keliru sehingga ada yang jadi mangsa penipuan. Mungkin lebih ramai yang akan tertipu jika akuan palsu tidak ditutup dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong mengambil inisiatif menyamar sebagai pelanggan yang mahu menempah bilik resort dengan pemilik akaun Facebook palsu tersebut.

“Sangat teliti dan berhati-hati,” katanya merujuk kepada pengendali akuan laman sosial itu.

Tung Siong berkata, sebaik sahaja mesej mahu menempah bilik ditinggalkan di dalam akaun Facebook berkenaan, pemiliknya meminta beliau menghubungi segera.

“Pemilik akaun palsu berkenaan memperkenalkan diri sebagai Mr Lim. Kami berhubung menggunakan WhatsApp sejak Jumaat lalu.

“Mr Lim sangat pantas membalas mesej dan begitu teliti. Bagaimanapun, pada hari Ahad lalu, Mr Lim tidak lagi membalas mesej saya selepas dia bertanya... adakah saya ahli politik?.

“Kemungkinan dia perasaan logo parti DAP yang digunakan di aplikasi WeChat  bagi nombor telefon yang sama saya hubunginya itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta mangsa yang pernah menjadi mangsa penipuan pemilik akuan palsu segera tampil membuat laporan polis.

“Saya difahamkan mereka masih berdiam diri dan tidak mahu buat laporan polis. Perkara ini sangat serius.

“Saya juga minta agar orang ramai lebih berhati-hati dan melihat segala perincian maklumat yang dipaparkan di laman sosial Facebook terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tempahan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur (PPKMKL) menyarankan agar kerajaan menguatkuasakan sistem cap jari bagi pembukaan akaun Facebook memastikan medium itu tidak terus disalahguna.
  • JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita secara berasingan di sini, kerana memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan institusi Diraja Johor serta membuat akaun Facebook palsu dengan menyamar sebagai kerabat Diraja Johor, petang tadi.
  • JEMPOL - Disebabkan percaya dengan kenalan melalui Facebook, seorang wanita berusia 52 tahun rugi RM3,000 apabila ditipu bagi membayar kos penghantaran barang elektronik kepadanya.
  • SUBANG JAYA - “Apa nak dihairankan, saya memang biasa tunggang basikal meninjau masalah dan isu setempat, tak sangka pula ada orang rakam hingga tular di media sosial,” kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.