JOHOR BAHRU - Nur Ghaziyah Athirah Muhamad Abu Dujanah, kanak-kanak yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa lima anggota keluarganya di Segamat, Selasa lepas, mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor Che' Puan Khaleeda Bustamam yang berkenan berangkat melawat kanak-kanak itu di Hospital Sultan Aminah (HSA), di sini, hari ini.

Menurut catatan yang dimuat naik dalam laman Facebook Johor Southern Tigers, Nur Ghaziyah Athirah masih kritikal dan Che' Puan Khaleeda turut memberikan sumbangan kepada datuk kanak-kanak tersebut.

Dalam kejadian 6.11 petang Selasa lepas, Nur Ghaziyah Athirah, 3, sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Kluang dari Muadzam Shah, Pahang sebelum kereta yang dipandu bapanya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 176, Jalan Johor Bahru-Seremban, berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, Segamat.

Pertembungan itu menyebabkan bapanya, Muhamad Abu Dujanah Dzulkarnain, 30; Zinnirah Abdul Hamid (ibu), 28; Nur Maghfirah (kakak), 6; dan Muhammad Abu Ajwad (abang), 4, meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Nur Alia Humairah, yang baru berusia tiga bulan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Segamat.

Jenazah kelima-lima anggota keluarga kanak-kanak malang itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan dekat Kluang, dua hari lepas. - Bernama