MERSING - Siapa sangka sakit gigi yang pada awalnya hanya dianggap sakit biasa akhirnya disahkan sebagai ketumbuhan.

Nur Farahani Azirah Apendi, 27, berkata, adik bongsunya, Nur Farahana Afiqah, 20, mengalami sakit gigi sejak sembilan bulan lalu iaitu pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, adiknya merupakan penuntut kolej sebelum ini tidak pernah mengalami masalah gigi seperti mana sekarang.

“Pada asalnya, adik sakit gigi biasa, pergi klinik dapatkan rawatan. Masa awal rawatan sekitar empat kali, masa tu doktor maklumkan punca sakit sebab gigi bongsu nak tumbuh.

“Masa itu pipi adik sudah mula kelihatan membengkak. Selepas dapatkan rawatan dengan doktor lain, doktor beritahu keadaan gusi adik saya sudah teruk. Doktor terus buat x-ray dan hari yang sama, doktor suruh adik ke Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya kepada Sinar Harian.

Nur Farahani berkata, selepas doktor mengambil sampel dan melakukan beberapa prosedur, hospital mengesahkan ia sebagai kanser.

Bagaimanapun selepas dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), doktor mengesahkan ia bukan kanser, sebaliknya sejenis ketumbuhan gusi kronik dikenali sebagai Ameloblastoma.

Katanya, kini keluarga runsing selepas pihak HKL menghubungi dan menetapkan adik perlu jalani pembedahan membuang rahang pada Rabu ini 12 September.

“Setakat ini doktor memaklumkan kos pembedahan sebanyak RM4,500. Selepas pembedahan, adik perlu dirawat selama sebulan di HKL.

“Sejak doktor memaklumkan keadaan kesihatan adik, kesihatan abah juga terganggu. Bahkan mak dan abah kerap cuti dari kerja kerana adik perlu ulang-alik dari Taman Wawasan ke Johor hinggakan mereka kini hilang punca pendapatan,”katanya.

Jelasnya, ibunya bekerja bahagian pembersihan manakala bapanya pula bekerja sebagai pemandu lori.

Menurutnya, setakat ini tiada bantuan diterima berikutan tiada surat dari pihak hospital sekali gus menyukarkan proses permohonan dari pihak Baitulmal.

Katanya, kini dia berusaha mencari wang bagi kos pembedahan, kos minyak, penginapan sepanjang berada di HKL nanti.   

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan ke akaun Maybank Apendi Mohd Razib (bapa) 151098331779.