KULAI – Koperasi Iskandar Malaysia Berhad (imCoop) merancang membuka 150 outlet Kedai Harga Patut Muafakat Johor dalam tempoh dua tahun dengan sasaran pembukaan 70 outlet sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Hisham Hussein berkata, pembukaan 150 outlet berkenaan turut membabitkan program transformasi kedai sedia ada mengikut konsep dan sistem yang dilaksanakan imCoop.

Katanya, setakat ini imCoop mempunyai tujuh rangkaian outlet termasuk lima di Johor iaitu di Pasir Gudang, Kulai,  Larkin, Setia Tropika dan Paloh serta dua di Negeri Sembilan iaitu di Paroi dan Panchor.

“Tujuh lagi outlet baru akan dibuka dalam masa terdekat termasuk di Taman Pelangi Indah, Taman Daya, Taman Cendana, Taman Bayu Puteri, Gelang Patah, Pontian dan Kulai Besar.

“Kita sentiasa memastikan harga yang dijual di semua rangkaian outlet imCoop lebih rendah berbanding pasaran biasa dengan membuat tinjauan perbandingan harga setiap minggu bagi memastikan harga kita kekal lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara imCoop dan My Outlets Pte Ltd Hab di imCoop i-Park Kulai di sini, semalam.

Selain itu Nor Hisham berkata, imCoop turut melancarkan perkhidmatan atas talian yang mula beroperasi sejak dua minggu lalu dengan kerjasama Koperasi Pemandu Teksi Johor Bahru.

“Buat permulaan kita mulakan jualan atas talian bagi outlet di Johor Bahru sahaja dengan kerjasama Koperasi Pemandu Teksi Johor Bahru bagi urusan penghantaran barang.

“Pembelian RM150 ke bawah akan dikenakan caj pengangkutan sebanyak RM10 dan perbelanjaan melebihi RM150 akan mendapat pengecualian caj pengangkutan,” katanya.

Katanya, setakat ini perkhidmatan atas talian berkenaan menerima sambutan amat menggalakkan walaupun baru dua minggu beroperasi malah mereka turut menerima pesanan dari negeri Terengganu.

“Pengguna yang berminat membuat pembelian secara atas talian boleh melayari laman web kami www.imcoop.my.

“Perkhidmatan atas talian ini bukan sahaja memudahkan pengguna tetapi secara tidak langsung dapat membantu pengguna merancang perbelanjaan dengan lebih berhemah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA - Jumlah mangsa banjir di Melaka kekal 126 orang daripada 33 keluarga yang masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Alor Gajah dan Jasin, setakat jam 1 tengah hari ini.
  • SHAH ALAM - Kejujuran seorang pemandu teksi memulangkan semula tripod kamera milik pegawai pengurus skuad futsal lelaki Thailand yang tertinggal di dalam kenderaannya semalam, dipuji Polis Daerah Shah Alam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.