KLUANG - Seorang ibu terpaksa berhenti kerja demi memberi perhatian sepenuhnya kepada anak sulungnya, Mohd Zaki Hanafi, 16, yang koma sejak sebulan lalu akibat kemalangan jalan raya.

Sapidah Shahed, 42, berkata, anak pertama daripada dua beradik itu koma selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan ketika ingin ke Gunung Berlumut.

Katanya, anaknya dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) dan bagi memastikan Mohd Zaki mendapat rawatan serta penjagaan terbaik, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai pekerja am di sebuah sekolah menengah di sini.

Bagaimanapun tindakannya itu menyebabkan mereka sekeluarga terputus punca pendapatan dan kini hanya bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan, selain derma orang ramai.

“Saya terpaksa bawa pulang anak sebab dikatakan sudah tidak ada harapan sembuh. Gegaran pada otak ketika kemalangan itu menyebabkan dia tidak sedarkan diri.

“Nak tak nak saya harus hadapinya walaupun tak mampu nak sediakan keperluannya terutama sekali lampin pakai buang dan susu.

“Sebagai ibu, saya hanya berharap anak saya kembali sihat dan meneruskan pelajarannya kerana dia budak yang pintar di sekolah,” katanya ketika menerima lawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kluang, Md Norhalim Md Amin di rumahnya di Taman Orked di sini, semalam.

Sapidah berkata, dia juga perlu membayar ansuran rumah sebanyak RM220 sebulan, selain menjaga seorang kakaknya yang kurang upaya (OKU).

Apa yang diharapkan kini, ada pihak sudi meringankan bebannya khususnya dari segi keperluan perubatan anak sulungnya.

Sementara itu, Md Norhalim berkata, pihaknya akan menggerakkan bantuan sewajarnya bagi membantu ibu tunggal tersebut.

“Keutamaan sekarang adalah untuk membeli katil boleh laras, manakala keperluan lain seperti lampin pakai buang dan susu akan diberikan dari semasa ke semasa,” katanya.